Negara Islam perlu tegas, senada pertahan Palestin

Negara Islam perlu tegas, senada pertahan Palestin

ANWAR Ibrahim bertemu Putera Mohammed Salman dalam kunjungan ke Istana Yamamah di Riyadh, Arab Saudi . - PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seluruh negara Arab dan negara Islam, khususnya Arab Saudi perlu senada serta tegas dalam menuntut keadilan buat rakyat Palestin.

Hal itu boleh dilakukan dengan memastikan Israel diheret ke muka pengadilan bagi segala jenayah dan kezaliman di luar batas kemanusiaan yang dilakukan terhadap Palestin sejak puluhan tahun lalu sehingga kini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain pelbagai bantuan dan sokongan yang diberikan kepada Palestin, semua pihak juga perlu menyuarakan bantahan terhadap pencerobohan dan pendudukan haram Israel di tanah Palestin, yang menjadi punca utama konflik ini berpanjangan.

“Saya menzahirkan penghargaan terhadap kepemimpinan yang dipamerkan Kerajaan Arab Saudi terkait urusan hal ehwal umat Islam, termasuk dalam kon­flik Palestin-Israel.

“Sehubungan itu, semua negara Islam perlu terus kekal menyokong Palestin dan tegas dalam menuntut keadilan buat negara itu yang sudah lama ditindas Israel,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Beliau berkata demikian selepas berkunjung ke Istana Yamamah di Riyadh untuk bertemu Putera Mahkota Arab Saudi sebelum berangkat pulang ke tanah air.

Kunjungan tersebut menutup lawatan beliau ke Riyadh bagi menghadiri Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) sejak kelmarin.

Kunjungan itu juga menyaksikan Anwar memaklumkan Malaysia bersedia meneroka ruang kerjasama baharu dalam Visi 2030 Arab Saudi terutama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan hidrogen selain melibatkan projek bernilai tinggi seperti ekonomi digital dan hijau, kecerdasan buatan (AI) serta aeroangkasa.

Visi 2030 adalah pelan transformasi utama Arab Saudi antaranya meliputi sektor utama termasuk perdagangan, pendidikan, kemampanan, khidmat kewangan dan tenaga yang boleh diperbaharui.

Anwar berkata, beliau menyentuh hubungan perdaga­ngan dan pelaburan kedua-dua negara semasa pertemuan dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman.

“Saya maklumkan kesedia­an Malaysia untuk bersama-sama dalam Visi 2030 Arab Saudi dengan meneroka ruang kerjasama baharu, terutama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan hidrogen.

“Saya juga mengalu-alukan kehadiran pelabur-pelabur dari Arab Saudi ke Malaysia untuk meneroka potensi pelaburan dalam projek bernilai tinggi seperti ekonomi digital dan hijau, kecerdasan buatan (AI), tenaga bersih, pertahanan, elektrik dan elektronik serta aero­angkasa.

“Saya maklumkan Malaysia sudah bersedia untuk mempengerusikan ASEAN tahun depan, termasuk menganjurkan Sidang ASEAN-GCC-China,” katanya.

Pada masa sama, beliau menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi yang memperuntukkan kuota haji untuk Malaysia.

“Penghargaan turut saya berikan kepada Kerajaan Arab Saudi yang bermurah hati memperuntukkan 31,600 kuota haji untuk Malaysia tahun ini,” ujarnya.

Beliau juga mengulangi jemputan buat Putera Mahkota untuk melakukan kunjungan rasmi ke Malaysia dalam masa terdekat.

“Saya percaya lawatan kali ini telah memperkukuh lagi hubungan erat antara Malaysia dan Arab Saudi, di sam­ping membuka pelbagai potensi pelaburan yang bakal menyum­bang kepada kemakmuran rakyat Malaysia kese­luruhannya, Insya Allah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×