PETALING JAYA: Malaysia bersedia bekerjasama dengan Qatar dan negara-negara lain dalam Asia Barat untuk memberi bantuan dalam bentuk rawatan kepada warga Gaza di Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Israel.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Jassim Al Thani semasa kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan dua hala di luar Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Riyadh, Arab Saudi semalam.
“Selama hampir 20 minit perbincangan saya dan Sheikh Mohammed menyentuh pelbagai perkara penting, termasuk bertukar pandangan mengenai krisis kemanusiaan di Palestin.
“Saya sampaikan setinggi-tinggi penghargaan bagi pihak Malaysia atas peranan Qatar membantu dalam usaha membawa keluar warga Malaysia, Nurul Ain Haron dan suaminya dari Gaza pada November tahun lalu,” katanya.
Menurut Anwar, perbincangan itu juga tertumpu pada potensi kerjasama baharu dalam bidang berkepentingan bagi kedua-kedua negara termasuk kewangan Islam, ekonomi digital, keterjaminan makanan dan tenaga boleh diperbaharui.
“Saya dan Sheikh Mohammed juga berhasrat meningkatkan pelaburan antara kedua-dua negara, serta melonjakkan hubungan perdagangan Malaysia-Qatar,” katanya. – UTUSAN










