RANTAU PANJANG: Penduduk yang tinggal di sempadan Sungai Golok lega apabila tiada peluru sesat terkena rumah mereka semasa kejadian letupan bom dan berbalas tembakan di Sungai Golok, Wilayah Narathiwat di Thailand semalam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk di Kampung Lubok Gong, Azizah Abdullah, 71 berkata, kejadian pukul 1 pagi itu menyebabkan dia tidak lena kerana bimbang peluru sesat terlepas ke negara ini.
“Jarak rumah saya dengan lokasi kejadian hanya beberapa meter dan dipisahkan dengan Sungai Golok.
“Bunyi tembakan sangat kuat, bertubi-tubi sehingga bergegar rumah,” katanya ditemui di Kampung Lubok Gong di sini semalam.
Azizah berkata, dia tidak berani turun ke halaman rumah dan hanya mengintai melalui tingkap semasa kejadian.
Penduduk di Kampung Tersang, Mohd. Zanawi Sakri, 28, berkata, bunyi dentuman bom yang kuat mengejutkannya daripada tidur.
Katanya, dia keluar ke halaman rumah untuk melihat namun hanya cahaya terang di udara sebelah Thailand akibat letupan bom itu kelihatan.
“Saya berada tidak lama di luar rumah kerana khuatir ada peluru sesat selepas mendengar beberapa das tembakan dan letupan bom. Bunyi tembakan sangat jelas didengar dan saya terus naik ke rumah,” katanya.
Seorang penduduk Thailand yang mahu dikenali Gayah, 40, berkata, dia terkandas di rumah saudaranya di sebuah kampung di sini kerana tidak dapat pulang ke Thailand melalui Sungai Golok.
“Saya masuk ke Malaysia semalam (kelmarin) kerana ada kenduri kahwin saudara di sini. Kejadian letupan bom dan insiden berbalas tembakan itu menyebabkan pangkalan haram yang menjadi laluan penduduk setempat ditutup,” katanya. – UTUSAN








