SELEPAS kejayaan menghasilkan single berjudul Going Crazy Wild bersama bintang hip hop Korea Selatan, Su Jin, penyanyi berdarah kacukan Melayu-Cina, Kat Roshan, kembali menghadiahkan peminat dengan sebuah single terbaharu berjudul Cinta Putih.
Secara tidak langsung, Cinta Putih juga menjadi saksi bahawa Kat tidak pernah mahu melupakan bidang seni muzik meskipun telah tujuh tahun tidak hadir dengan sebarang buah tangan dan meninggalkan tanda tanya pada peminatnya.
Berkongsi mengenai karya tersebut, penyanyi berasal dari Kuala Lumpur ini mengakui sukar membuang perasaan terharu dan gembiranya kerana komposer lagu tersebut, Chossy Pratama sanggup terbang jauh dari Indonesia ke Malaysia demi dirinya.
Kata Kat yang berusia 20 tahun, Chossy, tidak teragak-agak datang ke ibu negara untuk menemuinya demi merealisasikan kerjasama menerusi Cinta Putih kali ini.
“Saya amat berterima kasih kerana Chossy sanggup melalui perjalanan jauh dari Timor Timur kemudian ke Jakarta sebelum ke Kuala Lumpur.
“Dia datang ke sini untuk sesi rakaman lagu ini. Dia juga terlibat dalam sebuah lagi rakaman lagu baru yang akan dilancarkan tahun ini,” katanya.
Kat juga memberitahu, Chossy mengambil inspirasi daripada lagu terdahulu yang berjudul Oasis untuk dijadikan lirik karya baharu ini.
Malah, dia amat berpuas hati selepas Chossy menghantarkan rakaman demo lagu berkenaan sebagai single terbaharunya.
“Pada mulanya dia memberitahu tidak mempunyai lirik mahupun konsep untuk menulis.
“Kemudian dia mendapat ilham daripada salah sebuah lagu saya sebelum ini. Dalam video muzik lagu berkenaan saya memakai baju berwarna-warni, tetapi Chossy menulis sesuatu bertentangan dan hasilnya adalah warna putih bersih.
“Cinta Putih sebenarnya membawa erti cinta yang murni dan masih suci,” jelasnya.
Selain itu, kata Kat, kerjasama yang pernah terjalin sebelum ini membuatkan Chossy cukup memahami isi hatinya sekali gus memudahkan lagi penghasilan lagu dan karya bersesuaian.
Malah menurut Kat, Chossy juga memberi kebebasan buatnya untuk menterjemah emosi ketika proses rakaman dijalankan.
“Kata Chossy, saya bebas untuk mentafsir lagu genre balada ini mengikut perasaan dan emosi itu akan terserlah ketika menyanyi,” jelasnya.
Tambah Kat, dia juga berbesar hati kerana mentornya, Ong Peng Chu turut memberi sokongan penuh terhadapnya untuk menghasilkan lagu ini.
“Sebenarnya, Ong Peng Chu merupakan salah seorang kawan lama Chossy dalam industri muzik. Jadi, alang-alang dia ke sini, mereka pun bertemulah dan saling memberi sokongan.
“Kami merakam lagu ini di Starmount Studios, di bawah penerbitan Alex Lee yang studionya merupakan tempat saya merakamkan lagu Rasa dan beberapa lagu lain. Video lirik dan muzik pula dihasilkan oleh Nor Mikhail, yang juga salah seorang pelakon dalam video muzik terdahulu saya iaitu One Day From Today.
“Bagi saya, Mikhail sangat komprehensif dalam penghasilan gaya visual lagu dan hala tuju produk akhir yang anda lihat,” katanya.
Dalam pada itu, Kat berharap pendengar dapat menikmati karya terbaharunya ini dengan emosi cinta yang kuat selain dapat menyalurkan rasa positif ini dalam kehidupan seharian.









