Terengganu bawa masuk nilai pelaburan RM2.4 bilion - Utusan Malaysia

Terengganu bawa masuk nilai pelaburan RM2.4 bilion

AHMAD Samsuri Mokhtar menyembahkan ucapan tahniah pada majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Sempena Hari Keputeraan Sultan Terengganu Ke-62 di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Sebanyak RM2.4 bilion nilai pelaburan yang berpotensi sedang dibawa masuk ke Terengganu dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri sedang berusaha keras bagi memastikan pelaburan itu dapat direalisasikan.

Menurutnya, pembangunan di negeri Terengganu kini berada pada landasan yang tepat dan seimbang, dengan tumpuan diberikan terhadap usaha mengembangkan ekonomi serta memastikan kesejahteraan hidup rakyat.

“Hal ini telah pun disusun, dalam Belanjawan 2024 kerajaan negeri Terengganu bagi meneraju era baharu Terengganu melalui tiga fokus utama.

“Tiga fokus itu ialah memperkukuh keberkesanan kerajaan, mempelbagaikan sumber kekayaan dan menyejahterakan kehidupan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Sempena Hari Keputeraan Sultan Terengganu Ke-62 di Istana Syarqiyyah, di sini, hari ini

Tambahnya, Terengganu telah berjaya mencatatkan, jumlah pelaburan yang diluluskan (total approved investment) sebanyak RM3.75 bilion sepanjang tahun 2023.

“Justeru, bagi tahun 2024, kerajaan Tuanku berusaha memastikan, jumlah pelaburan yang masuk ke negeri ini akan terus meningkat, seiring dengan hasrat, bagi menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Terengganu.

“Kerajaan Tuanku kini berusaha, untuk mempelopori penjanaan pendapatan baharu, melalui pelaburan dalam bidang pengeluaran hidrogen hijau dan unsur nadir bumi (REE)

“Ini dibuat dengan mengadakan siri-siri perbincangan bersama syarikat utama dan terkemuka, dalam bidang ini daripada negara-negara luar,” katanya.

Dalam ucapan itu, Ahmad Samsuri mewakili kerajaan negeri dan seluruh rakyat, mengucapkan setinggi-tinggi tahniah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Tuanku Tahun 2024 pada hari ini.

“Semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Terengganu, serta seluruh ahli kerabat, sentiasa dikurniakan Allah SWT kesihatan yang baik, dilanjutkan usia dan dianugerahkan dengan setinggi-tinggi kemuliaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×