GAZA: Kubur besar mengandungi 392 mayat termasuk wanita, kanak-kanak dan warga emas yang ditemui di dua hospital di Semenanjung Gaza menunjukkan tanda-tanda penyeksaan dan hukuman mati, lapor pegawai di kawasan itu.
Pegawai Pertahanan Awam Palestin mendedahkan butiran baharu yang mengerikan tentang kubur besar di sekitar hospital Nasser dan al-Shifa selepas usaha menggali mayat dijalankan selama enam hari berturut-turut.
Anggota pertahanan awam, Mohammed Mughier berkata, 10 daripada mayat itu ditemui dengan tangan terikat manakala yang lain pula masih mempunyai tiub perubatan yang dipasang pada tubuh mereka, menunjukkan mangsa mungkin ditanam hidup-hidup.
“Kami memerlukan pemeriksaan forensik untuk kira-kira 20 mayat yang kami syaki ditanam hidup-hidup.
“Saya juga sudah memberikan bukti fotografi dan video mengenai mayat kanak-kanak di sini. Sangat menyedihkan mengapa kita mempunyai mayat anak kecil di kubur besar ini? Bukti ini menunjukkan tentera Israel melakukan jenayah terhadap kemanusiaan,” katanya.
Ketua Jabatan Pertahanan Awam Khan Younis, Yamen Abu Sulaiman berkata, tiga kubur besar berasingan ditemui di Hospital Nasser, satu di belakang bilik mayat, satu di hadapan bilik mayat sementara satu lagi berhampiran bangunan dialisis.
“Hanya 65 mayat sudah dikenal pasti oleh saudara-mara daripada sejumlah 392 yang ditemui akibat penguraian, kecacatan, penyeksaan, atau kesulitan lain.
“Mayat tersebut disusun secara bersama dan menunjukkan tanda-tanda hukuman mati di lapangan telah berlaku,” katanya.
Pada sidang akhbar di selatan Rafah kelmarin, Yamen menyeru masyarakat antarabangsa memberi tekanan supaya pencerobohan terhadap rakyat Palestin ditamatkan segera dan organisasi kemanusiaan serta media dibenarkan masuk ke Gaza untuk memeriksa jenayah tersebut.
Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk menggesa siasatan bebas, berkesan dan telus terhadap kematian itu.
“Hospital berhak mendapat perlindungan yang sangat istimewa di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Pembunuhan dengan sengaja terhadap orang awam, tahanan dan pejuang yang cedera adalah jenayah perang,” tegasnya.
Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS), Jake Sullivan memberitahu pemberita bahawa AS juga mahukan jawapan terhadap kejadian itu dan ingin melihat perkara tersebut disiasat secara menyeluruh dan telus.
Namun, wartawan Al Jazeera yang melaporkan dari Washington, Heidi Zhou-Castro menegaskan bahawa Sullivan tidak menggesa siasatan bebas, sekali gus menunjukkan AS hanya berpuas hati dengan membiarkan Israel melihat perkara itu.
“Itulah perbezaan utama antara gesaan AS untuk menyiasat kubur besar tersebut berbanding yang dilakukan pemimpin dunia lain dan Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk hak asasi manusia.
“Setakat kutukan, sudah tentu, lebih banyak perkara itu berlaku sekarang di AS. Menyebut tentang tindakan pula, hanya ada tindakan menyokong Israel,” katanya.











