TAPIR Malaya (Tapirus indicus) adalah antara haiwan mamalia besar yang sedang menghadapi ancaman kepupusan.
Punca utama mengancam populasi haiwan ini adalah kehilangan habitat asal, pemburuan haram dan tiada pengurusan habitat yang sistematik.
Perhatian kerajaan terhadap pemuliharaan Tapir Malaya sudah lama dan telah pun mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan haiwan unik ini terus dipulihara di habitat asal.
Antara langkah penting ialah mengadakan pusat pemuliharaan tapir, kenal pasti habitat, mengadakan kawalan perlindungan habitat dan pemuliharaan serta meningkatkan penyelidikan.
Kemudahan penyelidikan, pembiakan dan pemuliharaan tapir di Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar Sungai Dusun adalah antara inisiatif penting kerajaan melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan). Pusat pemuliharaan tapir yang dimulakan pada 2004 itu melibatkan haiwan dalam kurungan dan habitat semula jadi menyediakan kemudahan penyelidikan untuk pembiakan dan keupayaan haiwan di habitat asal.
Terdapat kajian-kajian dilakukan di pusat ini terutama berkaitan pembiakan, pemakanan dan genetik. Banyak lagi bidang kajian berkaitan tapir yang perlu dikembangkan di sini.
Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar Sungai Dusun ditubuhkan pada tahun 1964 dalam kawasan 4,500 hektar pada asalnya untuk melindungi Badak Sumatera.
Kajian berkaitan biologi, ekologi dan konflik lain berkaitan hidupan liar masih kurang kerana beberapa faktor seperti tumpuan dan keutamaan kerajaan, peruntukan kewangan, kekurangan bakat berkaitan hidupan liar dan kesedaran awam. Bidang yang dikaitkan dengan 3D (kotor, bahaya dan sukar) ini memerlukan pengiktirafan yang tinggi dan minat yang berbeza berbanding bidang-bidang lain.
Dengan teknologi terkini mungkin dapat memberikan kemudahan kepada bakat baharu dan menarik minat mereka untuk kajian yang mencabar berkaitan ekologi hidupan liar. Dengan peruntukan kewangan yang mencukupi boleh menyokong penyelidikan dengan pendekatan baharu serta menarik minat generasi muda dalam pemuliharaan hidupan liar.
Setiap tahun pada 27 April (hari ini), seluruh dunia yang mempunyai kepentingan dalam pemuliharaan tapir akan menyambut Hari Tapir Sedunia bagi memberikan pengetahuan dan meningkatkan kesedaran awam tentang pemuliharaan tapir serta memperingatkan semua pihak dalam tindakan pemuliharaan haiwan itu.
Tapir Malaya merupakan spesies tapir terbesar antara empat spesies tapir di dunia. Hanya satu spesies terdapat di rantau ini terutamanya di Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera. Tiga spesies lagi terdapat di Amerika Tengah dan Amerika Selatan.
Tapir Malaya dilaporkan juga boleh dijumpai di Myanmar dan Selatan Thailand. Tapir Malaya juga dikenali sebagai tenuk, cipan, badak tampung, badak tuli dan badak murai.
Tapir Malaya dilindungi sepenuhnya di Malaysia di bawah akta pemuliharaan hidupan liar 2010 (ACT 716) dan dikategorikan dalam appendiks 1 Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar (CITES). CITES merupakan perjanjian antara kerajaan-kerajaan antarabangsa di mesyuarat Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam Semula jadi (IUCN) pada 1973, bertujuan memastikan perdagangan spesimen-spesimen haiwan dan tumbuhan liar di peringkat antarabangsa tidak mengancam kemandirian hidupan-hidupan berkenaan.
Tapir Malaya yang sedang terancam sekarang akibat daripada aktiviti manusia seperti pembalakan, pembangunan tanah untuk pertanian, perlombongan, perindustrian dan perumahan mesti diberikan perhatian segera.
Di seluruh dunia, Tapir Malaya dilaporkan lebih kurang 2,500 ekor sahaja dan mengikut Jabatan Perhilitan, di Semanajung Tanah Melayu dijangkakan 1,000 hingga 1,500 ekor dengan 38 ekor dalam kurungan. Tapir selalu bergerak bersendirian. Haiwan jantan dan betina yang hanya bertemu untuk tujuan mengawan memerlukan kawasan legar yang cukup.
Ibu dan anak juga hanya bersama selama sehingga dua tahun di lapangan dan enam bulan dalam kurungan. Jangka hayat tapir selama 25 tahun di habitat liar dan 35 tahun dalam kurungan.
Maklumat hasil kajian dalam kurungan boleh membantu program pemuliharaan tapir di lapangan.
Perancangan kerajaan dalam pemuliharan Tapir Malaya membuka peluang penyelidikan berkaitan tingkah laku, genetik, kesihatan dan ekologi. Dana yang cukup dan galakan penglibatan pihak korporat sangat penting.
Pihak yang terlibat dengan pembalakan, industri kelapa sawit, perlombongan dan pembangunan lain mesti menyumbang kepada penyelidikan pemuliharaan tapir umumnya.
Sokongan pihak yang terlibat dengan kemusnahan habitat penting dalam membantu menguruskan habitat tapir secara sistematik.
Kajian tentang permakanan dan tingkah laku boleh membantu pemuliharaan tapir di habitat liar.
Kajian yang dilakukan dengan kerjasama Jabatan Perhilitan, universiti dan Zoo Copenhagen boleh membantu mengumpul data tentang tapir. Dengan teknologi dan kepakaran memproses data terkini, data yang ada boleh membantu dan mencadangkan pendekatan baharu pengurusan tapir dalam negara.
Kajian perlu terus dikembangkan lagi dan menggalakan bakat tempatan dengan inisiatif serta insentif yang menarik. Kajian di Sungai Dusun, Krau dan Taman Negara boleh menjadi model utama untuk pemuliharaan tapir dan boleh dikembangkan ke kawasan lain seperti Kompleks Hutan Simpan Belum Temengor di Perak dan Kompleks Hutan Simpan Ulu Muda di Kedah.
Dengan teknologi seperti perangkap kamera, penggunaan radio telemetri serta lain-lain mikroteknik dan bioteknologi boleh membantu melengkapkan dan memudahkan kajian.
Kawasan sensitif seperti jenut garam, laluan utama dalam pergerakan mencari makanan, tumbuhan utama yang menjadi makanan dan kawasan legar haiwan itu boleh ditentukan melalui data penyelidikan yang diperoleh.
Dengan data yang lengkap dapatlah pihak berkuasa menguruskan habitat tapir dan hidupan liar lain secara saintifik dengan cekap dan berkesan.
KEMALANGAN
Pemencilan habitat akibat pembangunan dan pertanian sejak 36 tahun dahulu mengurangkan lebih daripada 50 peratus populasi tapir. Pertambahan kenderaan dan jalan raya merentasi hutan menyebabkan kemalangan melibatkan tapir semakin meningkat. Warna hitam putih tapir menyukarkan penglihatan pemandu diwaktu malam.
Antara 2006 hingga 2019 lebih kurang lapan hingga 12 ekor tapir terbunuh di jalan raya setiap bulan.
Dalam kajian, jalan raya di Terengganu, Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Selangor menunjukkan kes tapir mati dilanggar tinggi. Data ini juga dapat menunjukkan taburan tapir di Semenanjung Tanah Melayu dan boleh membantu langkah kawalan.
Kes tapir mati di jalan raya terus meningkat dengan laporan 2015 hingga 2020 dengan 92 tapir terbunuh di Johor, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor dan Terengganu.
Analisis data kematian tapir di jalan raya berkadar terus dengan pengurangan hutan simpan dan peningkatan kawasan pertanian terutamanya ladang kelapa sawit. Maklumat ini penting untuk kajian seterusnya dilakukan bagi mendapatkan formula tepat pengurusan populasi tapir negara.
Program pemuliharaan Tapir Malaya mesti terus ditingkatkan dengan melibatkan lebih ramai pihak, agensi kerajaan, korporat, agensi penyelidikan, pendidikan serta pertubuhan bukan kerajaan dalam dan luar negara.
Semua Tapir Malaya di dalam dan luar negara dalam kurungan mesti didaftarkan dan dipantau. Pengalaman dengan Panda dari China boleh dijadikan rujukan. Kemampuan pihak Jabatan Perhilitan dan Zoo Negara dalam pembiakan Tapir Malaya juga mesti di sokong dengan dana dan kepakaran.-UTUSAN
DR. Ahmad Ismail ialah Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM) dan bekas President Persatuan Pecinta Alam Malaysia (MNS).










