LIPIS : Seorang warga emas, Azmi Budin berusia 62 tahun maut selepas motosikal dinaikinya terbabas akibat terlanggar seekor kucing di Kilometer 29, Jalan Lipis – Merapoh dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, ketika kejadian pada pukul 11 pagi itu, mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Kechau Tui menuju ke sebuah bengkel membaiki lori di Padang Tengku dekat sini.
“Setibanya di tempat kejadian, motosikal mangsa terlanggar seekor kucing yang tiba-tiba melintas mengakibatkan dia hilang kawalan lalu terbabas.
“Akibat kemalangan ini, mangsa telah disahkan oleh petugas perubatan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini hari ini.
Menurut Ismail, kes kemalangan itu akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ujarnya, kes kemalangan itu masih dalam siasatan dan orang ramai yang melihat kejadian itu diminta membantu polis di sini.











