KAHERAH: Israel melakukan lima serangan udara ke atas Rafah selepas berjanji akan memindahkan orang awam dari bandar selatan Gaza itu ke Khan Younis.
Rejim Zionis itu tetap melancarkan serangan habis-habisan walaupun rakan sekutu, Amerika Syarikat (AS) memberi amaran bahawa tindakan itu boleh menyebabkan kematian besar-besaran.
Pakar perubatan di kawasan Palestin yang dikepung melaporkan lima serangan udara Israel ke atas Rafah awal malam tadi yang mengenai sekurang-kurangnya tiga rumah, membunuh sekurang-kurangnya enam orang termasuk seorang wartawan tempatan.
Duta Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ibrahim Khraishi berkata, pihaknya berasa takut apa yang akan berlaku di Rafah dan tahap amaran adalah sangat tinggi.
“Ada penduduk yang pergi, mereka takut untuk keluarga mereka tetapi ke mana mereka boleh pergi? Mereka tidak dibenarkan pergi ke utara dan hanya terhad kepada kawasan yang sangat kecil,” katanya.
Keluasan Gaza adalah kira-kira 40 kilometer (km) panjang dan antara kira-kira 5 km dan 12 km lebar, merupakan salah satu kawasan paling padat penduduk di dunia.
Pada bulan ketujuh perang udara dan darat yang dahsyat, tentera Israel juga meneruskan pengeboman kawasan utara dan tengah kawasan terkepung itu, serta timur Khan Younis di selatan.
Matlamat Israel yang dinyatakan adalah untuk memusnahkan Hamas, walaupun tidak jelas bagaimana mereka akan melakukannya.
Pasukan PBB yang melawat tapak kawasan jeti untuk operasi bantuan maritim terpaksa berlindung di sebuah kubu pada Rabu lalu selepas kawasan itu diserang, kata seorang jurucakap.
Mereka berada di sana untuk pada satu tempoh, tetapi tidak ada kecederaan.
Dalam pada itu, jurucakap kerajaan Israel, David Mencer berkata, Kabinet perang Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sedang bermesyuarat untuk membincangkan cara memusnahkan sisa terakhir, suku terakhir batalion Hamas, di Rafah dan tempat lain.
Beliau enggan menyatakan bila atau sama ada mesyuarat sulit itu mungkin memberi lampu hijau untuk operasi darat di Rafah.
Israel kini membunuh sekurang-kurangnya 34,305 rakyat Palestin, kata pihak berkuasa kesihatan Gaza.
Serangan itu memusnahkan sebahagian besar kawasan perbandaran yang meluas, menyebabkan kebanyakan 2.3 juta penduduknya kehilangan tempat tinggal dan menyebabkan ramai yang kekurangan makanan, air atau rawatan perubatan.
Seorang pakar PBB yang bercakap selepas lawatan ke Jordan dan Mesir berkata, agensi bantuan melihat peningkatan bilangan pesakit yang mengalami kekurangan makanan yang teruk di enklaf itu. -REUTERS











