Boleh keluarkan KWSP ikut keperluan mulai 11 Mei

Boleh keluarkan KWSP ikut keperluan mulai 11 Mei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan pengeluaran se­rendah RM50 pada bila-bila ma­sa daripada Akaun Fleksibel (Akaun 3), menerusi penstrukturan semula akaun yang berkuat kuasa 11 Mei.

Selepas tarikh berkenaan, akaun semua ahli KWSP di bawah umur 55 tahun akan di­struktur semula daripada dua kepada tiga akaun meliputi Akaun Persaraan (Akaun 1), Akaun Sejahtera (Akaun 2) dan Akaun Fleksibel sebagai akaun baharu untuk menyediakan fleksibiliti bagi keperluan kewangan jangka pendek.

 

AHMAD ZULQARNAIN ONN

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, fokus utama inisiatif untuk memperkasa ahli dalam membuat keputusan bagi mengimbangi keperluan untuk persaraan dan kewangan jangka pendek, sederhana dan panjang.

“Inisiatif ini juga dapat membantu meningkatkan simpanan persaraan ahli supaya mereka menerima pendapatan persaraan yang mencukupi untuk membiayai kehidupan persaraan mereka kelak,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pada 11 Mei ini, baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera, manakala Akaun Fleksibel bermula dengan baki sifar.

“Semua caruman selepas 11 Mei 2024 akan diperuntukkan ke dalam akaun baharu mengikut pecahan 75 peratus ke dalam Akaun Persaraan, 15 peratus (Akaun Sejahtera) dan 10 peratus (Akaun Fleksibel).

“Bagaimanapun, antara 11 Mei dan 31 Ogos 2024, ahli diberi pilihan sekali sahaja untuk memindahkan sebahagian baki simpanan dalam Akaun Sejahtera mereka (Akaun 2) sebagai amaun permulaan ke dalam Akaun Fleksibel.

“Sekiranya ahli tidak membuat pilihan untuk mempunyai amaun permulaan, maka tiada sebarang pindahan akan dibuat dan baki sedia ada akan kekal dalam Akaun Sejahtera,” ujarnya.

Tambahnya, Akaun Fleksibel akan bermula dengan caruman baharu yang akan dikreditkan ke dalam akaun ahli selepas tarikh pelaksanaan.

“Sekiranya ahli membuat pi­lihan untuk mempunyai amaun permulaan, pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel dan akaun-akaun yang lain (jika berkenaan) adalah berdasarkan jumlah baki yang terdapat dalam Akaun Sejahtera ahli tersebut pada tarikh permohonan pilihan dibuat,” jelasnya.

Kaedah pindahan bagi ba­ki Akaun Sejahtera adalah RM3,000 dan ke atas ialah 10 da­ripada 30 (10/30) daripada ba­ki dalam Akaun Sejahtera akan dipindahkan ke Akaun Flek­sibel; lima daripada 30 (5/30) daripada baki dalam Aka­un Sejahtera akan dipindah­kan ke Akaun Persaraan dan 15 daripada 30 (15/30) akan dikekalkan dalam Akaun Sejahtera.

Bagi baki Akaun Sejahtera kurang daripada RM3,000, pindahan akan dibuat seperti berikut iaitu Akaun Sejahtera yang mempunyai baki RM1,000 dan ke bawah, semua amaun dipindahkan ke Akaun Fleksibel.

Akaun Sejahtera yang mempunyai baki melebihi RM1,000 dan tidak melebihi RM3,000, amaun yang dipindahkan ke Akaun Fleksibel adalah RM1,000, manakala baki selebihnya adalah kekal dalam Akaun Sejahtera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×