GAZA: Kumpulan pejuang Hamas mengeluarkan video ucapan seorang lelaki Israel-Amerika, mendakwa dia dan tebusan yang ditahan di Gaza kini hidup dalam ‘neraka’ sambil mengecam Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kerana tidak bertindak segera untuk membebaskan mereka.
Lelaki itu yang memperkenalkan dirinya sebagai Hersh Goldberg-Polin, 23, adalah seorang daripada tebusan yang diculik dari festival muzik Nova di selatan Israel semasa serangan Hamas pada 7 Oktober tahun lalu.
Kumpulan kempen Forum Tebusan dan Keluarga Hilang berkata, ibu bapa lelaki berkenaan sudah memberi kebenaran untuk video anak mereka itu disiarkan oleh media.
Goldberg-Polin cedera parah semasa ditangkap dan video itu menunjukkan dia kehilangan tangan kirinya dan mengadu tiada pihak berkuasa Israel yang membantu melindungi peserta festival muzik ketika hari mereka diculik Hamas.
“Saya pergi bertemu rakan-rakan saya tetapi saya mendapati diri saya bertarung untuk hidup dengan kecederaan parah di seluruh badan,” katanya dalam video itu.
Disiarkan di akaun Telegram rasmi Hamas, rakaman itu menunjukkan Goldberg-Polin, mengkritik cara Netanyahu mengendalikan krisis tersebut dan percubaan tentera yang gagal untuk membawa pulang tebusan.
“Netanyahu dan kerajaannya patut malu dengan diri mereka sendiri kerana mengabaikan kami bersama beribu-ribu penduduk lain
“Mereka patut malu kerana meninggalkan kami selama 200 hari dan segala usaha tentera telah gagal kerana pengeboman udara yang dilakukan membunuh kira-kira 70 tahanan seperti saya. Mereka juga harus malu kerana semua perjanjian yang ditawarkan kepada mereka ditolak,” tegasnya.
Dalam rujukan jelas kepada perayaan Paskah Yahudi minggu ini, Goldberg-Polin turut mengecam anggota kerajaan yang dapat duduk dan makan malam bersama keluarga mereka tanpa memikirkan keadaan tebusan di Gaza.
“Tebusan kini hidup di bawah tanah tanpa air, makanan, matahari dan rawatan perubatan yang saya perlukan untuk masa yang lama.
“Saya bertanya kepada anda perdana menteri, kerajaan anda dan kabinet. Setiap hari kami di sini, anda semakin mengabaikan kami dan anda mengabaikan darah kami.
“Lakukan apa yang diharapkan daripada anda dan bawa kami pulang dengan segera atau adakah ini menjadi terlalu besar untuk anda? Sudah tiba masanya untuk menyerahkan kunci kerajaan, mengosongkan kementerian dan duduk di rumah,” tambahnya lagi.
Lelaki berkenaan turut membuat ucapan kepada ibu bapanya, meminta mereka agar terus berjuang untuk pembebasan tebusan dan menanti kepulangannya.
“Saya tahu anda melakukan segala-galanya untuk saya pulang ke rumah secepat mungkin. Saya perlukan anda untuk kekal kuat dan tidak berhenti berjuang sehingga saya dan setiap tebusan pulang dengan selamat,” ujarnya.
Ibu Goldberg-Polin, Rachel Goldberg berkempen untuk menggesa usaha membawa anaknya pulang dan membuat pertemuan dengan Pope Francis di Vatican pada tahun lalu bagi merayu bantuan.
Forum Tebusan dan Keluarga Hilang juga merayu supaya tebusan dibawa pulang.
“Laungan Goldberg-Polin adalah laungan kolektif semua tebusan. Masa mereka semakin suntuk. Dengan setiap hari yang berlalu, kebimbangan kehilangan lebih banyak nyawa yang tidak bersalah semakin kuat,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Israel menganggarkan 129 daripada kira-kira 250 orang yang diculik semasa serangan Hamas pada 7 Oktober lalu kekal di Gaza, termasuk 34 lagi yang didakwa tentera Israel sudah terkorban.-AGENSI











