JASIN: Seorang lelaki warga emas cedera di kepala selepas dipukul dengan kerusi plastik dalam satu kejadian samun tanpa senjata di rumahnya di Kampung Ayer Tawar, Merlimau di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa yang berusia 61 tahun turut ditampar dan disimbah sambal tumis pada bahagian muka oleh seorang lelaki tidak dikenali.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, ketika kejadian mangsa sedang berbaring seorang diri di atas katil di luar bilik pintu belakang rumahnya.
“Tiba-tiba datang seorang lelaki yang tidak dikenali memakai topi keledar dan pelitup muka lalu menyimbah cecair disyaki sambal tumis ke arah muka mangsa. Suspek dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an dan berbadan gempal bertindak agresif menampar dan memukul mangsa di bahagian kepala sebanyak dua atau tiga kali menggunakan kerusi plastik.
“Mangsa yang mengalami kesukaran berjalan cuba menahan tetapi kepalanya mengalami kecederaan akibat hentakan tersebut. Mangsa juga meminta tolong namun tiada siapa yang datang membantu,” katanya kepada pemberita.
Tambah Ahmad Jamil, suspek mengambil beg sandang yang mengandungi dompet berisi wang tunai sebanyak RM400, kad pengenalan, kad bank dan lesen memandu.
“Lelaki tersebut terus melarikan diri selepas mengambil beg sandang mangsa. Setakat ini belum ada tangkapan dibuat dan pihak polis sedang giat mengesan suspek.
“Mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital dan dibenarkan keluar pada hari yang sama. Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN










