BANGKOK: Guru dan pelajar akan berkongsi tandas yang sama di semua sekolah di bawah Pejabat Suruhanjaya Asas Pendidikan (Obec) Thailand.
Lapor Bangkok Post, perubahan dasar itu bagaimanapun menimbulkan kemarahan dalam platform media sosial yang dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan.
Dalam mesej yang disiarkan di akaun Facebook kementerian, Obec mengumumkan bahawa pada masa hadapan, tidak akan ada tandas berasingan di sekolah untuk guru dan pelajar.
Tandas hanya akan dipisahkan mengikut jantina, lelaki dan perempuan.
Perubahan itu adalah sebahagian daripada rancangan untuk tandas sekolah yang lebih bersih dan merupakan dasar Menteri Pendidikan, Permpoon Chidchob.
Menteri itu sebelum ini menimbulkan kemarahan orang ramai apabila melahirkan rasa kagum terhadap sistem pendidikan di Korea Utara dan disiplin ketat yang dikenakan ke atas anak muda di sana.
Obec akan mula menambah baik tandas terlebih dahulu di 9,700 sekolah kecilnya dengan tidak lebih daripada 80 pelajar dan kemudian di sekolah yang lebih besar.
Bagaimanapun, dasar tandas kongsi akan diperkenalkan di semua sekolah pada semester ini, kata Obec.
Tinjauan pelajar menunjukkan mereka mahukan tandas yang lebih bersih di sekolah, menurut Obec.
“Tandas untuk guru adalah syurga. Tandas untuk pelajar adalah neraka,” kementerian itu memetik satu komen yang dibuat semasa tinjauan itu diadakan.
Seorang bekas pengerusi lembaga Obec mengkritik rancangan itu dengan mengatakan bahawa semua tandas di sekolah, baik untuk guru dan pelajar, perlu lebih bersih, tetapi pelajar juga harus menghormati guru mereka.
Budaya Thai boleh terjejas jika tiada sempadan antara guru dan pelajar, dia memberi amaran.
Komen yang disiarkan berikutan pengumuman kementerian itu berkata, tandas pelajar kotor kerana kanak-kanak itu tidak berusaha untuk memastikan mereka bersih atau membantu petugas kebersihan sekolah, yang terlalu banyak bekerja.










