MELAKA: Bekas Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad didakwa sudah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik mengesahkan perkara itu yang mana Mohamad Ali mendaftar menjadi ahli pada 12 April lalu.
Abdul Rahim berkata, kekuatan Bersatu di Tangga Batu lebih kukuh dengan kemasukan Mohamad Ali kerana dapat membantu memperkukuhkan jentera parti dan meramaikan keahlian di Melaka.
Jelasnya lagi, lebih ramai ahli dan pemimpin UMNO di negeri ini dijangka mengikut jejak langkah bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara itu berikutan kecewa dengan prestasi UMNO sejak menyertai Kerajaan Perpaduan.
“Saya hendak ucap tahniah dan mengalu-alukan kehadiran beliau kerana menyertai Bersatu. Kita beruntung dengan kehadirannya berdasarkan pengalamannya sewaktu menjadi Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu.
“Dengan penghijrahan beliau ia akan merangsang lebih ramai ahli dan pemimpin UMNO di Melaka yang lain, yang tidak selari dengan kepemimpinan UMNO yang ada sekarang untuk menyertai Bersatu.
“Ada ramai ahli akar umbi UMNO yang tidak menjadi ahli Bersatu tetapi mereka tetap menyokong perjuangan kita di Melaka,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, spekulasi membabitkan tiga bekas Ketua UMNO Bahagian di negeri ini yang dikatakan bakal menyertai Bersatu mula kedengaran minggu lalu.
Mereka ialah Mohamad Ali; bekas Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Rahman dan bekas Pemangku Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Rospandi Leman.
Bagaimanapun, ketiga-tiga bekas Ketua UMNO Bahagian itu menafikan khabar angin berkenaan.
Tambah Abdul Rahim, Mohamad Ali dalam perancangan membuka lebih 20 cawangan Bersatu di Tangga Batu dalam usaha memperkukuhkan kedudukan parti menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Cuma setakat ini beliau belum diberi sebarang jawatan tertentu tetapi akan bekerjasama dengan Ketua Bahagian Bersatu Tangga Batu, Ramlan Meon bagi
memperkukuhkan kekuatan parti ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, setakat berita ini ditulis, cubaan Utusan Malaysia bagi mendapatkan respons Mohamad Ali belum berhasil berikutan beliau tidak menjawab panggilan telefon.
Bagaimanapun, melalui laman sosial Facebooknya, Mohamad Ali berkata, dalam masa terdekat beliau akan menyatakan pendiriannya. – UTUSAN










