SEREMBAN: Allahyarham Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, 35, sempat menghadiahkan gubahan bunga kepada isterinya, Siti Aisyah, sempena ulang tahun perkahwinan mereka baru-baru ini.
Siti Aisyah menerusi akaun Facebook miliknya memberitahu, dia cukup gembira apabila menerima gubahan bunga tersebut dari suaminya itu.
“Abang tahu sayang (Siti Aisyah) tak suka bunga, tapi sayang happy dapat bunga ini semasa anniversary kita beberapa hari lepas, sayang cakap berserilah rumah kita ada bunga.
“Tapi abang, seri itu hanya seketika, hanya beberapa hari, rumah kita sudah hilang seri, abang dah tiada, abang dah tak balik,” katanya.
Allahyarham Mohammad Amirulfaris, merupakan salah seorang daripada 10 pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam tragedi dua helikopter pasukan itu yang bertembung sebelum terhempas semasa raptai perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, semalam.
Sementara itu, Siti Aisyah memberitahu, Allahyarham suaminya itu juga tidak sempat meraikan ulang tahun kelahirannya yang akan disambut esok.
“Hari jadi sayang lusa abang, tapi abang sudah pergi dahulu, setiap tahun sayang akan tertunggu-tunggu hadiah hari jadi, tetapi tahun ini hadiah ‘besar’ sayang dapat, insya-Allah sayang akan kuat jaga anak-anak kita baik-baik,” luahannya lagi.
Sementara itu, jenazah Allahyarham Mohammad Amirulfaris akan terus dibawa pulang ke rumah keluarganya di Taman Senawang Perdana di sini selepas selesai diberi penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi TLDM di Kem 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) petang ini. Jenazah kemudian akan dikebumikan Tanah Perkuburan Islam, Senawang.-UTUSAN.










