PETALING JAYA: Lambaian lima kru Skuadron 503 di Pangkalan Kota Kinabalu, Sabah yang mengiringi dua Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW139 ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak empat hari lalu, menjadi lambaian terakhir apabila sebuah pesawat tersebut terhempas hari ini.
Gambar yang dikongsikan dalam laman sosial Facebook Skuadron 503 pada 19 April itu menarik perhatian warganet selepas berita helikopter HOM-AW139 terhempas akibat bertembung di udara dengan sebuah lagi helikopter jenis AS 555 SN (Fennec) ketika latihan raptai sempena perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT) TLDM ke-90 yang dijadualkan awal bulan depan.
Berdasarkan hantaran tersebut, Skuadron 503 menghantar dua pesawat HOM AW139 bersama sembilan kru udara dan 11 juruteknik ke Lumut untuk menyertai Lintas Hormat sempena Hari HUT TLDM.
Pesawat tersebut dijadualkan mengikuti perbarisan Hari HUT TLDM pada 27 April dan demonstrasi udara pada Hari Terbuka Armada pada 3 hingga 5 Mei juga di Pangkalan TLDM Lumut.
Lebih menyayat hati adalah kapsyen yang ditulis di foto tersebut apabila admin Facebook berkenaan menulis komen berbunyi ‘lambaian penuh makna daripada sebahagian kru yang tinggal, selepas ini mereka mungkin boleh balik awal selalu? Entah, min (admin) masih mampu bersangka baik’.
Gambar lambaian tersebut, setakat ini mendapat lebih 1,100 tanda suka, 182 komen dan diulang siar sebanyak 924 kali di laman sosial Facebook.
Seorang pengguna Facebook menggunakan nama Wan Salahuddin meninggalkan komen berbunyi ‘Selamat berehat pejuang negara. Moga Allah ampuni dan meredai kalian. Rakyat mendoakan kesejahteraan buat kalian yang pergi. Terima salute (tanda hormat) daripada kami’ di gambar tersebut.
Dalam nahas pagi tadi, dua helikopter TLDM iaitu HOM AW139 dan Fennec terhempas selepas berlaku pertembungan di udara mengakibatkan 10 juruterbang dan krunya meninggal dunia di lokasi kejadian.
Berdasarkan laporan, pesawat HOM tersebut dinaiki tujuh juruterbang dan kru manakala helikopter Fennec dinaiki tiga lagi mangsa.
Bagaimanapun, setakat ini, identiti kesemua mangsa belum didedahkan oleh Kementerian Pertahanan mahu pun Angkatan Tentera Malaysia (ATM).-UTUSAN











