KUALA TERENGGANU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, hari ini, merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas di Lumut, Perak, pagi tadi.
Persidangan yang sedang berlangsung juga dihentikan sebentar untuk memberi laluan kepada hadirin membacakan surah al-Fatihah sebagai tanda penghormatan kepada semua mangsa yang terlibat.
Ucapan rakaman takziah itu dinyatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik ketika membahaskan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sempena pembukaan penggal persidangan kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
“Kita baru sahaja dikejutkan dengan insiden pelanggaran dua helikopter milik TLDM di Lumut sebentar tadi dan ada beberapa perajurit kita terkorban.
“DUN Sura ingin mengambil perhatian sidang dewan agar kita semua dapat membaca al-Fatihah untuk perajurit kita yang terkorban.
“Salam takziah daripada kami, ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu kepada semua keluarga mangsa,” katanya.
Pagi tadi, negara digemparkan dengan insiden pelanggaran dua helikopter ketika sedang melakukan latihan penerbangan sempena Hari Terbuka Armada TLDM melibatkan pesawat HOM (M503-3) dan pesawat Fennec.
Semua 10 mangsa yang terlibat dalam insiden di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak itu meninggal dunia setelah disahkan oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Ketika ini, kerja-kerja untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang terlibat di lokasi kejadian telah dijalankan oleh pasukan Bomba sehingga selesai. – UTUSAN








