Penduduk resah air Sungai Lipis kerap bertukar oren

Penduduk resah air Sungai Lipis kerap bertukar oren

KEADAAN air Sungai Lipis yang bertukar menjadi warna oren sehingga menggemparkan penduduk daerah Lipis pada petang Ahad lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Fenomena air Sungai Lipis yang kerap bertukar ke warna oren menimbulkan persoalan dan keresahan dalam kalangan penduduk di sini.

Seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Mohamad berkata, dalam kejadian terbaharu petang Ahad lalu, aliran air Sungai Lipis bertukar oren sebelum ia kembali pulih seperti sedia kala
pada pagi semalam.

“Dalam tempoh seminggu ini sahaja sudah dua kali Sungai Lipis bertukar warna oren. Apa yang menimbulkan persoalan, kenapa ia kerap berlaku?

Memuatkan artikel berkaitan…

“Terdapat dakwaan wujud aktiviti perlombongan di kawasan hulu sungai. Jika benar, diharap pihak berkuasa bertindak segera bagi mengelak kejadian serupa berulang,” katanya di sini, semalam.

Mohamad berkata, penduduk turut bimbang dengan senario berkenaan kerana air sungai itu tidak boleh digunakan manakala banyak ikan air tawar yang terjejas kerana habitat akuakultur sudah tercemar.

Menurutnya, pihak yang terbabit dengan aktiviti di kawasan hulu sungai perlu mencari alternatif mengelakkan sisa buangan ke dalam sungai agar air kembali jernih dan jaminan tidak ada lagi gangguan habitat ternakan akuakultur.

Tambahnya lagi. pihak berwajib juga perlu mengambil tindakan, iaitu menyiasat punca sungai itu tercemar sehingga menjejaskan mata pencarian nelayan darat di situ.

“Penduduk di sini tidak menghalang projek perlombongan atau pembangunan, namun ia perlu dilaksanakan dengan cara yang betul serta tidak memberi kesan besar terhadap masyarakat setempat dan alam sekitar.

“Pihak yang terlibat dengan projek tertentu di kawasan hulu dan berdekatan aliran perlu mengambil kira keselesaan penduduk di samping pemuliharaan keceriaan dan kebersihan sungai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini