Walaupun pelbagai etnik, Malaysia tetap negara Melayu

Walaupun pelbagai etnik, Malaysia tetap negara Melayu

JELAS sekali sepanjang sejarah penubuhan Malaysia, negara ini dihuni etnik Melayu semenjak azali lagi sebagaimana tercatat kebenaran itu oleh pelbagai pihak di seluruh dunia.- MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK dapat dinafikan untuk sekian lamanya semenjak penubuhannya, Malaysia dinaratifkan sebagai negara pelbagai etnik dengan kerencaman budaya dan agama di dalamnya. 

Ia benar pada satu segi sahaja. Pada segi yang satu lagi, Malaysia, khususnya Semenanjung ini adalah milik etnik Melayu sepenuhnya. 

Walaupun demikian, ini sama sekali tidak bermakna pelbagai etnik lain yang wujud bersama-sama etnik Melayu sebagai penduduk asal selain kelompok majoriti lagi dominan, tiada tempat mereka di dalam negara bertuah ini.

Sehubungan ini, tempat sah mereka tetap ada dan dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan bersama-sama dengan semua kepentingan sah mereka.

Namun kebelakangan ini, status quo kedudukan etnik Melayu selaku pemilik tempat ini seakan-akan mahu dicabar melalui beberapa tindakan, yang boleh ditafsir sebagai bukan sahaja tidak menghormati tuan rumah. Juga ia mahu mewujudkan order baharu, yakni sistem urus tadbir negara yang tidak pun ada sebelum ini. 

Antaranya kesamarataan hak ekoran daripada multikulturalisme yang kononnya telah diterima pakai di negara ini.

Dalam pada ini, meskipun Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik, justeru mengamalkan pelbagai warisan budaya, ia masih tertakluk kepada Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) yang tidak sesekalipun berganjak daripada etnik dan budaya Melayu Islam sebagai rukun asasnya. Oleh itu, meskipun dalam kepelbagaian ini, Malaysia masih tetap, malah patut pada setiap masa dilandaskan kepada tunjang Melayu Islam untuk pemerintahannya.

Hal ini penting difahami dan difahamkan. Ini kerana kepelbagaian yang kita banggakan sebagai aset negara, pada masa sama ikut menuntut rakyat yang berbagai-bagai ini untuk bukan sahaja menerima, juga berintegrasi ke dalam tunjang Melayu Islam ini. Ini penting untuk identiti nasional bagi negara dan identiti budaya bagi rakyat.

Bagi rakyat yang masih tidak memahami hal ini, mereka hendaklah ditarbiahkan bahawa pemilikan Melayu ke atas tempat ini bukan sahaja berasas sekali pada sepanjang masa, baik pada zaman dahulu mahupun pada era moden ini.

KERAJAAN MELAYU

Sehubungan ini, Kerajaan Melayu sudah pun wujud dengan utuhnya seawal abad kelima lagi. Dalam pada ini, Kerajaan Melaka mulai 1400 adalah kuasa politik dan lautan yang bukan sahaja besar. Ia juga penting di rantau Asia Tenggara sebagai pusat penyebaran Islam. Kekuasaan laut ini berterusan sehingga sekurang-kurangnya pada pertengahan abad 18 dengan pelbagai catatan bahawa etnik Melayu adalah pelayar handal di seluruh perairan Asia Tenggara.

Sewaktu penjajahan sekalipun, kekuasaan etnik Melayu selalu diiktiraf melalui perjanjian khusus antara Inggeris dengan raja Melayu. Ia berkaitan dengan penyerahan kuasa kembali kepada etnik Melayu sahaja sekiranya Inggeris mahu meninggalkan tempat ini.

Seperkara lain tentang kekuasaan etnik Melayu sebagai tuan punya tempat ini dapat dilihat pada usaha Inggeris untuk selalu memastikan etnik Melayu diberikan lebih keistimewaan sebagai penduduk asal. Ini dapat dilihat khususnya semasa kependudukan negara ini mula tidak seimbang antara etnik Melayu dan bukan Melayu yang dibawa masuk oleh Inggeris. 

Sehubungan ini, ia dipastikan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang digubal Suruhanjaya Reid untuk Tanah Melayu apabila merdeka nanti.

Sebaliknya hakikat tempat ini yang dimiliki etnik Melayu sering mahu dipertikai dengan keraguan bahawa etnik Melayu bukan penduduk asal. Ia dilakukan dengan tujuan untuk memberi implikasi bahawa etnik Melayu yang mendatangi tempat ini tidak layak mempunyai apa-apa keistimewaan yang lebih berbanding etnik bukan Melayu. Ini kerana kedua-duanya sama-sama mendatangi tempat ini dari pelbagai tempat lain.

Usaha untuk menimbulkan keraguan ini bukan sahaja langsung tidak berasas, malah berniat jahat sekali. Ia dilakukan dengan dalil perpindahan beramai-ramai etnik Melayu ke sini dari merata tempat di Nusantara, walaupun kawasan mereka sendiri yang luas. Dengan keraguan begini, menjadi salah dan tidak munasabah untuk mana-mana etnik, khususnya Melayu, untuk lebih wajar menganggap diri mereka sebagai rakyat asal daripada yang lain-lain. 

Ini kerana kesemuanya berpindah ke sini untuk membangunkannya yang kononnya tidak dimiliki oleh sesiapa pun.

Sewajarnya tempat ini yang dimiliki etnik Melayu tidak perlu dijadikan apa-apa pertikaian lagi oleh etnik bukan Melayu. Ini kerana ia jelas sekali pada sepanjang sejarah tempat ini bahawa ia dihuni etnik Melayu semenjak azali lagi. Sehubungan ini, kewujudannya tercatat oleh pelbagai pihak di seluruh dunia.

BUKTI

Antaranya rekod China yang mempunyai bukti tentang kewujudan Tanah Melayu seawal abad ketiga lagi. Manakala catatan India memperlihat hubungan dengan Tanah Melayu sudah wujud semenjak pemerintah Ashoka pada zaman belum masihi lagi.

Rekod Rom dan Yunani seawal abad kedua pada peta Ptolemy menggelarkan Tanah Melayu sebagai Semenanjung Emas.

Walaupun dengan etnik Melayu sebagai tuan pemilik tempat ini, etnik bukan Melayu, khususnya Cina tidak putus-putus menikmati peluang ekonomi yang bukan sahaja banyak, juga agam. 

Malah ia begitu lumayan sekali apabila dibandingkan dengan peluang yang diperoleh etnik Cina di banyak tempat lain.

Oleh itu, mengapakah etnik Cina Malaysia masih banyak bersungut, sangat tidak mempercayai dan sensitif sekali terhadap pelbagai perkara di negara ini?

Memandangkan keadaan amat mewah sebegini yang dikecapi mereka, sebenarnya tidak berasas langsung untuk bersikap sedemikian rupa, melainkan ia hanya dilema Cina yang takut pada bayang-bayang sendiri sahaja.-UTUSAN

 

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×