KOTA KINABALU: Hasrat kerajaan negeri untuk mengurangkan bilangan ketua isi rumah (KIR) miskin tegar di Sabah tidak aklan dapat dijayakan sekiranya individu terlibat tidak mengambil inisiatif sendiri untuk bekerja.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kadang-kadang ada dibantu oleh kerajaan tetapi kalau orang terlibat tidak mengambil inisiatif sendiri memang sukar untuk keluarkan mereka daripada kelompok miskin tegar.
“Kita mempunyai usaha-usaha khusus untuk membantu miskin tegar keluar daripada masalah kemiskinan tegar. Mereka boleh naik menjadi miskin biasa jadi, kadang-kadang kalau mereka tidak bekerja, dia akan kembali jatuh kepada golongan miskin tegar.
“Ini adalah satu usaha bersepadu yang perlu mendapat kerjasama semua pihak sama ada agensi kerajaan pimpinan kita dan saya telah meminta syarikat-syarikat di Sabah untuk mengambil mereka yang berada dalam senarai eKasih untuk diambil bekerja,” katanya semasa sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Datuk Darell Leiking (Warisan-Moyog) mengenai pendapatan minimum yang disasarkan di lapan daerah termiskin di Sabah.
Hajiji, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, setakat 31 Mac, angka terkini dalam sistem e-Kasih merekodkan penurunan sebanyak 42 peratus dan mereka yang masih berstatus miskin tegar adalah seramai 12,555 Ketua Isi Rumah (KIR).
Namun demikian, perubahan status akan berlaku dengan perubahan bilangan ahli isi rumah, perubahan pendapatan, bantuan yang diterima atau ditamatkan serta perubahan maklumat lain seperti meninggal dunia mahupun berpindah ke negeri lain.
Menjawab tentang perbezaan data yang disebutkan dengan kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, Hajiji berkata, apa yang dinyatakan Menteri Ekonomi dalam Parlimen mengenai bilangan KIR miskin tegar di Sabah, data yang diberikan itu adalah data terdahulu sebelum dikemas kini.
Data terkini selepas dikemas kini adalah 12,555 KIR miskin tegar di Sabah dan itu adalah data yang diperoleh dari Pejabat Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri(JPM), Jabatan Pembangunan Negeri serta Pejabat Daerah dan Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ).
Jelas beliau, kerajaan negeri berpegang kepada data terbaharu yang diperoleh setakat 31 Mac lalu. – UTUSAN










