PETALING JAYA: Pemain skuasy remaja negara, Aira Azman menjadi wakil tunggal Malaysia mara ke pusingan ketiga selepas mengetepikan Georgia Adderley dari Scotland pada pusingan kedua Kejohanan Skuasy Antarabangsa El Gouna di Pusat Skuasy El Gouna, Mesir, kelmarin.
Bekas naib juara remaja dunia itu mengetepikan Adderley dalam pertarungan sengit lima set 11-7, 8-11, 6-11, 14-12, 11-9 yang mengambil masa selama lebih sejam dan sekali gus, menyaksikan buat kali pertama Aira mara sejauh ke pusingan ketiga pada kejohanan berstatus platinum itu.
Bagaimanapun, kejayaan Aira itu gagal diiringi rakan-rakan senegara yang lebih senior iaitu S. Sivasangari, Ng Eain Yow, Rachel Arnold dan kakak Aira, Aifa terkandas seawal pusingan kedua.
Aira, 19, berkata, dia hanya memikirkan mengenai kemampuan tubuhnya sepanjang pertarungan sengit itu berlangsung.
“Saya sangat gembira dengan persembahan saya dan bagaimana saya berjaya mara ke peringkat seterusnya tetapi saya sangat bimbangkan tentang tubuh saya.
“Saya asyik ditimpa kecederaan sama tetapi saya berjaya pulih daripada masalah yang dialami, namun ia sering kali terjadi ketika saya menyertai jelajah.
“Saya amat kecewa dengan situasi ini kerana saya telah bekerja keras untuk memastikan kesihatan saya berada dalam keadaan terbaik tetapi kecederaan sama kerap berulang,” katanya ketika ditemu bual selepas perlawanan berakhir.
Mengulas kejayaan mengejutkan Adderley, pemain yang menghuni ranking ke-41 dunia itu memberitahu, pertemuan tersebut lebih kepada permainan mental dan dia berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan.
Aira turut melahirkan rasa gembira dapat beraksi di gelanggang kaca dalam peringkat seterusnya dan berharap dapat berehat secukupnya untuk bermain menentang bintang No. 6 dunia, Georgina Kennedy dari England.
Sementara itu, juara Kejohanan Klasik London, Sivasangari tewas kepada juara bertahan yang juga jaguh No. 3 dunia, Nouran Gohar dari Mesir 6-11, 8-11, 4-11 manakala Aifa tunduk di tangan seorang lagi wakil tuan rumah, Malak Khafagy 9-11, 9-11, 11-9, 5-11.
Dua lagi wakil Malaysia, Rachel Arnold akur kepada bintang No. 1 dunia, Nour ElSherbini 7-11, 10-12, 3-11 dan juara Terbuka Jerman, Ng Eain Yow tumpas di tangan Gregoire March dari Perancis 11-8, 11-9, 8-11, 8-11, 10-12 dalam aksi berlanjutan selama 84 minit. – UTUSAN










