PETALING JAYA: Enam pakar perubatan daripada Mercy Malaysia kini berada di Rafah, Gaza untuk melaksanakan misi kemanusiaan yang bermula Rabu lalu sehingga hujung bulan ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia Timbalan Pengarah Eksekutif, MERCY Malaysia, Hafiz Amirrol berkata, ini merupakan misi ketiga Mercy menghantar pakar perubatan ke kawasan konflik tersebut.
Katanya, antara pakar yang terlibat dalam misi tersebut ialah Pakar Bedah, Pakar Bius, Pakar Ortopedik dan jururawat.
“Untuk misi ketiga ini, kita menghantar enam orang pakar untuk membantu dan memberikan rawatan kepada penduduk Gaza disana,” katanya.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 34,049 rakyat Palestin telah terbunuh dan 76,901 cedera dalam serangan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober.
Terbaharu perkhidmatan kecemasan di Gaza turut menjumpai 50 mayat rakyat Palestin dari kubur besar di Kompleks Perubatan Nasser di Khan Younis, Khamis lalu dua minggu selepas tentera Israel berundur dari kawasan itu.
Menurut Hafiz, setakat ini, semenjak misi pertama yang dijalankan Mercy Malaysia pada 19 Februari, lebih 2,000 pesakit berjaya dirawat.
Bukan itu sahaja, antara perkhidmatan lain yang disediakan pembangunan dan pengoperasian Medical Point di Kem Al-Mawasi untuk menampung keperluan kesihatan asas penduduk Gaza yang tinggal di kem pelarian.
Mengulas mengenai cabaran, Hafiz berkata, keadaan disana secara umumnya memang mencabar terutamanya berkaitan kekangan bekalan perubatan dan peralatan kesihatan.
“Walaupun mencabar, kita tetap teruskan dengan usaha kepakaran doktor-doktor tempatan bagi membantu mangsa perang,” jelasnya.










