PETALING JAYA: Kos bagi satu tong minyak mentah dijangka naik berikutan konflik Asia Barat semakin meruncing selepas Iran melancarkan serangan dron terhadap Israel.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi, Fakulti Pengurusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof. Dr. L. Nanthakumar berkata, situasi tersebut akan membebankan kerajaan disebabkan kos subsidi dijangka turut meningkat.
“Bukan itu sahaja, sektor pengangkutan dan industri yang menggunakan minyak dalam rantaian pengeluaran akan terjejas.
“Inflasi import juga mungkin berlaku kerana peningkatan kos barangan tempatan yang menggunakan bahan api minyak dalam pengeluaran,” katanya.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan Israel menyerang Iran dengan tiga dron, beberapa hari selepas Iran melancarkan serangan membalas dendam terhadap Israel.
Bagaimanapun, ketiga-tiga dron itu berjaya dimusnahkan pihak Iran.
Iran dilaporkan mengaktifkan sistem pertahanan udaranya di beberapa bandar utama selepas letupan kedengaran berhampiran bandar Isfahan.
Dalam pada itu, Penganalisis ekonomi dari Universiti Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, sekiranya keadaan ini berterusan, ekonomi dunia akan lebih menjunam dengan lebih teruk.
“Perang di Gaza yang dimulakan oleh Israel kini merebak tanpa sebarang kemenangan jelas.
“Bermula di Laut Merah sehingga mengganggu kapal-kapal kargo yang melalui Terusan Suez dengan serangan dari Yaman kini berkembang dengan serangan balas di Syria dan Iran.
“Situasi tersebut boleh merosakkan ekonomi dunia terutama melibatkan pengangkutan dan harga minyak,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya peperangan atau konflik di Asia Barat tidak berpanjangan maka pasaran akan memberikan reaksi yang positif, aktiviti ekonomi akan kembali berlangsung.











