KUALA LANGAT: Tindakan seorang lelaki membuang wang yang dicurinya daripada tabung sebuah surau di Banting di sini, memakan diri apabila dicekup kelmarin.
Lebih melucukan, wang itu dibuang suspek berusia 43 tahun di belakang surau tersebut selepas disedari orang awam, kira-kira pukul 2.15 petang.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada seorang lelaki warga tempatan pukul 4.49 petang.
“Kejadian disedari pengadu yang terserempak dengan suspek dalam keadaan mencurigakan sambil membawa beg sandang Individu itu kemudian menegur dan memarahi suspek yang terus melarikan diri ke belakang surau berkenaan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Menurut beliau, pengadu cuba mengejar suspek sebelum menemukan sejumlah wang yang dibuang di belakang surau itu.
“Suspek yang cuba beredar bagaimanapun berjaya ditahan beberapa individu yang berada di lokasi kejadian. Pemeriksaan turut menemukan beberapa peralatan dalam beg suspek yang dipercayai digunakan untuk memecah tabung surau berkenaan,” ujarnya.
Tambah Ahmad Ridhwan, suspek diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut.
“Semakan mendapati suspek memiliki 11 rekod jenayah lampau termasuk dadah. Suspek kini ditahan bagi siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN










