SEBELUM ini, saya pernah menulis beberapa ulasan filem jenayah rompakan atau heist. Namun, baru-baru ini saya berkesempatan menonton sebuah filem, The Crew dengan tema serupa tetapi rompakan tersebut dijayakan oleh sekumpulan wanita.
Bila difikir-fikir, sudah lama rasanya kita tidak menemui naskhah yang mengangkat perempuan sebagai perancang satu strategi rompakan.
Filem The Crew diarahkan oleh Rajesh A Krishnan yang terkenal dengan naskhah komedi. Sepanjang filem ini, dapat dilihat Rajesh cuba mengadun jenaka dalam plot cerita jenayah dan kematian.
The Crew menampilkan tiga pelakon utama sebagai taruhan iaitu Tabu, Kriti Sanon dan semestinya Kareena Kapoor.
The Crew, sesuai tajuknya menceritakan tentang nasib tiga pramugari Geeta, Jasmine dan Divya yang bekerja di sebuah syarikat penerbangan Kohinoor Airlines. Tiga wanita ini datang daripada keluarga yang serba sederhana dan masing-masing mempunyai banyak tanggungan menyebabkan mereka perlu bekerja keras.
Syarikat tersebut kemudian diisytiharkan muflis. Menambah keresahan dan beban kepada mereka. Pengurusan sumber manusia syarikat itupun tidak dapat memberi kata putus mengenai pampasan mahupun caruman pekerja.

Sehinggalah suatu hari bos mereka ditemukan mati dengan kepingan emas di badannya. Rupanya di tengah kesempitan hidup anak kapal, majikan serta ketua pengurusan sumber manusia syarikat itu menyeludup emas ke negara lain dan hidup mewah.
Penindasan membuatkan mereka bangkit mendapatkan pembelaan walaupun dengan cara yang tidak sopan.
Pertama, saya harus memberikan pujian bagaimana ketiga-tiga watak wanita ini ditampilkan dalam usia yang berbeza. Mereka semuanya mewakili wanita berumur 30, 40 dan 50 tahun yang bekerja mencari wang.
Semestinya, pola fikir dan karakter wanita merentas tiga generasi ini akan berbeza dan itulah yang diperlukan untuk menjayakan misi rompakan. The Crew juga berjaya menampilkan hubungan yang sangat akrab ketiga-tiga wanita ini di hadapan layar seolah-olah memang watak dan skrip itu ditulis untuk mereka.

Bukan itu sahaja, babak The Crew juga dirakam di banyak tempat dan situasi seperti rumah, stor, pasar, hotel dan majlis tari-menari golongan elit. Semua visual ini mengena di layar, tahniah kepada produksi dan pasukan seni yang bertungkus lumus menghidupkan adegan ini senyata mungkin.
Walaupun Rajesh A Krishnan terkenal sebagai sutradara komedi, malangnya The Crew gagal menunjukkan jenaka yang benar-benar diingati. Setiap pelakon mungkin hanya melontarkan satu atau dua baris lucu.
Selain itu, ada beberapa bahagian di plot kedua yang terasa menerawang terutama ketika mereka merasakan sudah menjumpai pencuri sebenar namun tekaan mereka selalu sahaja salah.
Apapun, The Crew bagi saya tetap satu filem pemerkasaan wanita yang berjaya dan segar. Watak lelaki hanya muncul sekadar mewarnai naskhah dan bukannya menjadi tunjang utama filem ini. Tahniah!










