LTdL: Skuad kebangsaan pertaruh ‘ubi muda’

LTdL: Skuad kebangsaan pertaruh bakat muda

Pasukan berbasikal lebuh raya negara bakal mempertaruhkan barisan pelumba muda pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasukan berbasikal lebuh raya negara bakal mempertaruhkan barisan pelumba muda pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 selepas kehilangan beberapa tonggak berpengalaman yang menyertai pasukan bertaraf Pro.

Jurulatih basikal lebuh raya, Mohd Yusof Abdul Nasir berkata, beliau tidak mempunyai banyak pilihan, selain membawa masuk pelumba muda bawah 23 tahun bagi mengukuhkan pasukan Malaysia menjelang LTdL yang bermula 29 September hingga 6 Oktober ini.

“Pemilihan tahun ini ada sedikit perubahan drastik, beberapa pelumba berpengalaman kita seperti Mohammad Izzat Hilmi (Abdul Halil), Zulhelmi Zainal dan Muhammad Zawawi Azman telah berhijrah menyertai pasukan benua.

“Walaupun, saya kehilangan empat pelumba berpengalaman, menjadi tugas saya mencari bakat baharu untuk diketengahkan supaya orang luar boleh nampak bakat mereka,” katanya ketika ditemui pemberita.

Menurutnya, beliau merancang untuk menyenaraikan sekurang-kurangnya dua atau tiga pelumba di bawah umur 23 tahun dengan prestasi semasa mereka dinilai berdasarkan keputusan pada kejohanan kebangsaan, baru-baru ini.

Jelas Mohd Yusof, selepas menyertai Jelajah Thailand pada 1-6 April lalu, anak-anak buahnya akan kembali berlatih di Nilai, Negeri Sembilan untuk persiapan LTdL.

“Memandangkan skuad negara dibarisi pelumba muda, saya merancang untuk membawa kembali Mohd Shahrul Mat Amin ke dalam skuad kebangsaan, supaya mereka dapat belajar daripadanya.

“Saya tak katakan saya akan menggunakan khidmat dia 100 peratus, saya perlu bawa dia dalam pasukan supaya pasukan negara ada seorang kapten,” ujarnya yang menilai prestasi pelumba veteran itu selepas dia melengkapkan saingan di kedudukan keenam dalam kejohanan kebangsaan.

Mengulas pula mengenai cabaran LTdL bagi edisi 2024, Mohd Yusof tidak menyembunyikan kebimbangannya terhadap tahap kesukaran perlumbaan kali ini yang pada anggapannya cukup getir.

“Kita ada saingan di Gunung Raya, laluan pendakian berbukit secara berturut-turut di Cameron Highland dan Genting Highland yang belum pernah berlaku sebelum ini, selain perlumbaan sejauh 200 kilometer di Sarawak.

“Cabaran ini agak sakit kepala, mahu tak mahu kita kena harungi juga, selepasi perlumbaan di Senai (Johor), keesokan hari ada perlumbaan 200km (di Sarawak), kalau tak cukup rehat budak-budak boleh jadi lembik,” tambahnya.

Sebab itu, beliau berkata, kehadiran Shahrul ke dalam skuad kebangsaan amat diperlukan supaya dia boleh menjadi mentor kepada pelumba-pelumba muda dan menjadi individu yang dihormati dalam pasukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×