PETALING JAYA: Penganjur Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024, Majlis Sukan Negara (MSN) membuat keputusan mengubah laluan edisi kali ini dengan Genting Highlands dikeluarkan daripada peta perlumbaan selepas mengambil kira keselamatan pelumba.
Sekretariat Petronas LTdL 2024 berkata, berdasarkan perancangan asal perlumbaan peringkat keempat akan membabitkan laluan Kuala Kubu Bharu ke Genting Highlands sejauh 112.8 kilometer (km) namun, pihak penganjur terpaksa mengubah laluan tersebut kepada Kuala Kubu Bharu ke Bentong yang melibatkan kayuhan lebih jauh iaitu 148.9 kilometer (km)
“Pertukaran laluan peringkat keempat itu diputuskan selepas penganjur melengkapkan tinjauan laluan baharu yang mengambil kira faktor-faktor keselamatan membabitkan laluan berkenaan.
“Ia disebabkan kerja-kerja penambahbaikan jalan dan cerun di sepanjang laluan Genting Highlands sewaktu tarikh perlumbaan,” kata sekretariat itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, pemilihan Kuala Kubu Bharu dan Bentong bertujuan untuk mengekalkan persiapan yang sedang dirangka berdasarkan pengumuman laluan yang telah diumumkan menerusi Majlis Pelancaran Petronas LTdL 2024 pada 18 Mac lalu.

“Seperti diumumkan sebelum ini, penganjur tetap cuba mengekalkan konsep pendakian laluan berbukit secara berturut-turut untuk peringkat ke-3 dan ke-4 bagi edisi LTdL kali ini.
“Peringkat ke-4 kali ini bakal menyaksikan pelumba perlu memulakan pendakian pada jarak km 20 hingga ke km 40 di Jalan Gap-Bukit Fraser sebelum pendakian ke puncak Bukit Fraser pada ketinggian 1,250m.
“Peringkat ini bakal menjelmakan cabaran tambahan buat pelumba kerana perlukan percaturan taktikal dan teknikal yang tepat bagi menuruni bukit untuk mengumpul jurang masa maksimum mengharungi baki 70km laluan landai ke Bentong,” katanya.
LTdL yang kini memasuki edisi ke-28, tahun ini, merupakan perlumbaan berbasikal paling berprestij di benua Asia yang dijadualkan berlangsung pada 29 September sehingga 6 Oktober ini.
Pulau Langkawi kembali tersenarai dalam laluan perlumbaan yang turut menyaksikan dua peringkat saingan julung kali bakal diadakan di Sarawak dengan jarak keseluruhan 1,227.2km.- UTUSAN










