Malaysia sasar capai keseimbangan melalui penetapan harga bahan api - Utusan Malaysia

Malaysia sasar capai keseimbangan melalui penetapan harga bahan api

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia menyasarkan untuk mencapai keseimbangan melalui pelaksanaan mekanisme penetapan harga bahan api yang bersesuaian dalam mendorong kepada penggunaan tenaga yang lebih cekap dan peralihan kepada tenaga boleh baharu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bagaimanapun menegaskan, pada masa yang sama kerajaan tetap mengambil kira impak sosio-ekonomi terhadap rakyatnya.

“Pendekatan ini sejajar dengan komitmen Malaysia untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan menggalakkan amalan lestari tanpa membebankan rakyatnya,” katanya dalam kenyataan.

Amir Hamzah mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga IMF dan WBG 2024 di Washington, Amerika Syarikat (AS) dari 17 April hingga 19 April 2024.

Mesyuarat itu merupakan platform untuk membincangkan hal ehwal berkaitan hubungan dua hala dan pelbagai hala di antara Malaysia dengan WBG dan IMF serta negara-negara anggota yang lain.

Negara-negara anggota juga akan berkongsi pendapat berhubung pelaksanaan strategi dan dasar negara masing-masing dalam menangani isu-isu semasa ekonomi dan kewangan global dalam sidang plenari dan sesi perbincangan semasa Mesyuarat Mengenai Persefahaman Tindakan Iklim Menteri-Menteri Kewangan (CFMCA).

Pada sela-sela Mesyuarat Musim Bunga ini, Amir Hamzah juga mengadakan sesi libat urus dengan Agensi-agensi Penarafan Kredit (CRA) antaranya JP Morgan, Standard and Poors (S&P), Moody’s dan Fitch.

Selain itu, beliau berkongsi dan bertukar pandangan dengan ketua delegasi daripada negara-negara anggota yang lain berkenaan perkembangan ekonomi negara dan global melalui mesyuarat-mesyuarat dua hala yang telah dijadualkan.

Beliau mengadakan perjumpaan dengan pegawai kanan IMF dan WBG untuk membincangkan hala tuju program dan aktiviti yang dilaksanakan di bawah kerjasama Malaysia dengan IMF dan WBG.

Penyertaan Malaysia dalam Mesyuarat Musim Bunga IMF dan WBG ini penting sejajar dengan komitmen berterusan negara dalam usaha menggiatkan pertumbuhan secara bersama, khususnya dalam perkembangan ekonomi serantau dan global. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×