Konfrontasi dengan Iran hanya taktik Netanyahu alih perhatian

Konfrontasi dengan Iran hanya taktik Netanyahu alih perhatian dunia terhadap Gaza

SEORANG wanita meratapi kematian ahli keluarganya di hospital Al Najjar di Rafah di selatan Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMMAN: Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi menegaskan masyarakat antarabangsa harus menghentikan taktik kotor Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu meningkatkan konfrontasinya dengan Iran demi mengalihkan perhatian dunia terhadap kekejaman di Gaza.

Dalam kenyataan akhbar bersama rakan sejawatannya dari Jerman di Berlin, Ayman berkata, Iran mengumumkan isu itu sudah selesai selepas melakukan serangan pada Sabtu dan tiada sebab untuk Israel meneruskan tindak balasnya. 

“Kami menentang peningkatan ketegangan. Netanyahu sengaja mahu menarik perhatian dunia daripada Gaza sebaliknya mahu kita menumpukan pada konfrontasinya dengan Iran.

Ayman berkata, Jordan akan melakukan apa sahaja untuk melindungi kedaulatannya dan menegaskan enggan membiarkan negara itu dijadikan medan perang kepada dua musuh serantau itu.

“Kami berada dalam jarak tembakan dan sebarang peluru berpandu yang boleh jatuh di Jordan akan menyebabkan bahaya kepada kami. Jadi kami akan melakukan apa yang kami perlu  tanpa mengira dari mana dron tersebut berasal sama ada dari Israel, Iran atau negara lain,” tambahnya.

Kereta kebal Israel kembali ke utara Gaza semalam selepas meninggalkan bahagian terkepung itu beberapa minggu lalu.

Pada masa sama, pesawat pejuang turut melancarkan serangan udara ke atas Rafah, tempat perlindungan terakhir rakyat Palestin di selatan wilayah itu sehingga membunuh dan mencederakan ramai orang, menurut pegawai perubatan dan penduduk.

Penduduk memaklumkan terdapat gangguan internet di kawasan Beit Hanoun dan Jabalia di utara Gaza.

Saluran media kumpulan Palestin melaporkan, kereta kebal menghampiri Beit Hanoun dan mengepung beberapa sekolah di mana keluarga pelarian sedang berlindung.

Tentera pendudukan mengarahkan semua keluarga di dalam sekolah dan rumah berdekatan dengan kawasan kereta kebal untuk berpindah. 

Pegawai kesihatan Palestin berkata, serangan Israel membunuh empat orang dan mencederakan beberapa yang lain di Rafah, di mana lebih separuh daripada 2.3 juta penduduk Gaza berlindung dan bersiap sedia untuk serangan darat Israel yang dirancang ke atas bandar itu.

Selepas enam bulan bertempur, masih tiada tanda-tanda kejayaan dalam rundingan disokong Amerika Syarikat (AS) serta diketuai Qatar dan Mesir untuk mencapai perjanjian gencatan senjata di Gaza.

Israel dan Palestin kini masih berpegang pada syarat-syarat mereka yang tidak dapat dicapai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×