Jangan serius sangat dengan Alamak Raya Lagi!

Jangan serius sangat dengan Alamak Raya Lagi!

Azira Shafinaz
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Anggota kumpulan De Fam, Azira Shafinaz berharap masyarakat tidak membuat interpretasi yang salah terhadap lagu Alamak Raya Lagi! sehingga mengundang spekulasi lebih buruk.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Azira berkata, lagu tersebut diinspirasikan daripada peristiwa Hari Raya Aidilfitri mengejut yang berlaku pada 2022 dan De Fam tiada niat untuk menghina kesucian Lebaran.

“Saya berpendapat, mungkin ramai yang memberikan maksud salah kepada lagu ini terutama perkataan ‘alamak’. Sepatutnya lagu ini terbit tahun lalu untuk menceritakan peristiwa hari raya pada 2022.

“Ketika itu semua orang kalut. Ada yang masak rendang hangit atau kuih tak jadi. Bukan mahu ajak orang jangan sambut raya, tapi lebih kepada peristiwa yang jadi semasa raya.

“Namun, memandangkan tahun lalu ahli De Fam sangat sibuk, jadi kita tak sempat untuk terbitkan dan tunda hingga tahun ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Maklum dengan teguran yang diberikan segelintir pihak mengenai trend tarian lagu tersebut dalam media sosial yang dianggap kurang sopan bagi perempuan, Azira bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Ia hanyalah sebuah lagu raya yang rancak menceritakan sisi lain sambutan hari raya yang tidak semestinya sempurna. Ada antara kita yang waktu nak balik kampung terpaksa hadap trafik dan ada yang kereta rosak. Itu semua ‘alamak’ yang ingin kami ceritakan.

“Saya fikir, kita tidak perlulah ambil serius sangat tentang isu ini dan berharap semua orang dapat menerima lagu ini seadanya,” katanya.

Terdahulu, ketika lagu Alamak Raya Lagi! tular sehingga ke Indonesia, De Fam tidak terlepas daripada menerima kritikan apabila ada pihak mendakwa trend tarian lagu tersebut dianggap tidak sesuai dilakukan golongan wanita.

Bukan itu sahaja, mereka turut mengkritik penggunaan ayat ‘alamak’ di dalam lirik lagu tersebut yang dikatakan bertentangan dengan sambutan Aidilfitri sebagai hari kemenangan umat Islam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×