PETALING JAYA: Ringgit dijangka melemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang semakin mengukuh, di tengah-tengah perkembangan terkini membabitkan konflik Iran-Israel, kata penganalisis.
Pada pukul 9 pagi semalam, mata wang tempatan susut ke paras 4.7715/7780 berbanding dolar AS daripada 4.7680/7730 pada akhir Jumaat lalu, sebelum ditutup pada 4.7770/7810.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, konflik di Asia Barat itu dijangka menyebabkan ringgit menyusut kepada kadar antara RM4.77 ke RM4.80.
Ujarnya, perang di Gaza yang berlanjutan dengan serangan Iran ke atas Israel bukan sahaja memberikan kesan kepada ekonomi Malaysia, malah turut memberi impak yang mendadak kepada ekonomi dunia.
“Pasaran pertukaran mata wang menjadi tidak menentu dan saya menjangkakan ringgit akan melepasi kadar RM4.80, antara 4.77 ke 4.80 disebabkan konflik yang berlaku ini.
“Kesannya adalah peningkatan kos dalam mengimport barangan dari luar negara memandangkan dolar AS adalah mata wang yang kerap diguna bagi tujuan penyelesaian perdagangan.
“Indikator dolar AS akan terus mengukuh dengan index DXY terus naik apabila Rizab Persekutuan (Fed) dilihat tidak akan menurunkan kadar faedahnya pada Jun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Selain itu, beliau berkata, bursa seluruh dunia turut dijangka terkesan dan para pengurus dana beralih kepada memegang pelaburan Bon Terbitan 10 tahun yang kini mulai tinggi semula pada 4.5 peratus.
“Pengurus dana pula dijangka akan menambahkan pembelian emas sebagai pelaburan selamat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff turut berpandangan sama bahawa ringgit akan kekal melemah berbanding dolar AS selagi konflik Timur tengah berterusan.
Katanya, Fed AS juga dijangka tidak akan menurunkan kadar faedahnya kerana perbelanjaan isi rumah di AS masih meningkat yang menyebabkan dolar AS kekal kukuh.
“Kemungkinan ringgit akan kembali mengukuh apabila Fed AS menurunkan kadar faedahnya tapi ini mungkin berlaku pada suku ketiga tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan harus berterusan menarik pelaburan asing ke dalam negara, mengurangkan kebergantungan kepada barangan import dan memperkasakan barangan tempatan.
“Itu antara langkah yang boleh dilakukan oleh kerajaan untuk mengawal keadaan ini daripada ringgit terus menyusut,” katanya.
Pada Ahad, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang memantau rapat perkembangan konflik di Timur Tengah dan kedudukan pasaran kewangan, termasuk potensi dampak atau impaknya ke atas Malaysia.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan bertindak dengan bijaksana bagi memperkukuh kestabilan ekonomi dan kewangan negara. – UTUSAN










