Jangan cuba ubah acuan sejarah walau hidup di dunia moden

Jangan cuba ubah acuan sejarah walau hidup di dunia moden

MENGAMALKAN prinsip-prinsip Rukun Negara dapat membentuk keharmonian antara kaum. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AGAK menyedihkan apabila melihat negara tercinta ini semakin tenggelam dalam gelodak isu sensitif. Saban hari, ada sahaja isu-isu sensitif ditularkan di media sosial.

Antara isu yang dijadikan modal adalah berkaitan kaum, agama, bahasa, hak keistimewaan dan institusi diraja.

Di sebuah negara rencam seperti Malaysia yang teradun dengan kepelbagaian kaum, agama, budaya dan bahasa, sudah pastinya setiap masyarakat mempunyai elemen-elemen tertentu yang mendasari struktur sosiopolitik sesebuah masyarakat tersebut. Lebih-lebih lagi, masyarakat itu mempunyai nilai sejarahnya tersendiri.

Elemen-elemen ini begitu penting hinggakan ia dianggap sebagai perkara sensitif dan tidak boleh dibincangkan secara terang-terangan dalam kalangan anggota masyarakat itu sendiri. Apatah lagi oleh pihak-pihak yang tidak ada kaitan langsung.

Di Malaysia, ada beberapa perkara telah termaktub dalam Perlembagaan, iaitu undang-undang tertinggi negara ini. Namun begitu, masih ada yang kurang arif dan masih mempersoalkan isu-isu tersebut, terutama tentang hak istimewa orang Melayu, peribumi Sabah dan Sarawak.

Sebagai orang asal negara ini, orang Melayu dan peribumi Sabah dan Sarawak mempunyai keistimewaan tertentu, khasnya dari aspek tanah, pendidikan, biasiswa, perkhidmatan awam dan ekonomi.

Sebelum pembentukan negara ini, perkara-perkara ini telah dibincangkan dengan teliti dan dipersetujui oleh semua pihak ketika merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu serta diperkenan oleh Raja-raja Melayu.

Ketika penyatuan Persekutuan Tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak serta Singapura pada 1963, perkara-perkara tersebut dipersetujui untuk digunapakai dalam Perlembagaan baharu. Hanya beberapa aspek berkaitan Sabah dan Sarawak dimasukkan untuk menjaga kepentingan kedua-dua wilayah tersebut di bawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Dalam membincangkan hal ini, golongan minoriti, khasnya perlulah memahami konteks sejarah negara dan menerima negara ini seadanya.

Janganlah kita cuba mengubah acuan sejarah yang sudah dibentuk sejak berpuluhan tahun hanya disebabkan kita berada di era moden, maka segala-galanya mahu diubah mengikut perspektif masa kini.

Mempersoalkan apa jua perkara yang termaktub dalam perlembagaan adalah satu perbuatan yang melampau dan tidak boleh diterima sama sekali. Apatah lagi, ia akan mencetuskan rasa tidak puas hati dan seterusnya merenggangkan hubungan antara golongan minoriti dan golongan majoriti yang sudah terbina begitu lama.

LABEL
Dalam pada itu, satu lagi trend iaitu melabel kaum-kaum di negara ini masih menjadi naratif bagi sesetengah pihak yang berfikiran sempit. Sejak dahulu lagi, orang Melayu dimomokkan sebagai kaum yang berat tulang dan mudah lupa.

Hingga kini, persepsi negatif ini terus dilemparkan terhadap orang Melayu untuk merendah-rendahkan kaum tersebut. Seolah-olah orang Melayu hanya berpeluk tubuh dan tidak menyumbang apa-apa pun terhadap kedaulatan negara serta dalam pembangunan sosioekonomi negara ini.

Lemparan negatif sebegini semestinya menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang Melayu yang merupakan kaum majoriti. Adakah perlu orang Melayu diperlakukan sedemikian? Sudahnya tentu tidak!
Tanpa daya usaha orang Melayu itu sendiri, tidak akan lahir kerajaan-kerajaan Melayu awal yang berjaya menguasai perdagangan antarabangsa pada suatu ketika dahulu. Tanpa pengorbanan dan jasa orang Melayu, tidak akan wujud sebuah negara yang kita lihat pada hari ini. Melihat dari kaca mata seorang yang bukan Melayu, perbuatan ini hanya mencalarkan imej kaum tersebut dalam kalangan kaum minoriti.

Baru-baru ini, kaum India pula dilabelkan sebagai masyarakat yang tidak mempunyai kesetiaan mutlak terhadap Malaysia. Orang Cina pula dipalitkan dengan stigma sebagai kaum yang tidak mengenang jasa.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab ini menggambarkan seolah-olah kaum India dan Cina masih berpaksikan negara lain.

Tidak dinafikan sebelum merdekanya tanah ini, masyarakat India dan Cina sememangnya berufukkan negara leluhur mereka. Mereka tiba di sini untuk mengumpul kekayaan dan membina kehidupan yang lebih baik di negara asal tetapi waktu tersebut telahpun berakhir 67 tahun yang lalu. Kini, bagi mereka, inilah tanah air mereka. Bukan lagi India atau China.

Bahkan sejarah membuktikan bahawa kedua-dua kaum ini mengamalkan kerjasama dan bertoleransi dengan kaum Melayu dalam membina negara ini.

Bagi segelintir pihak yang ‘buta sejarah’, mereka haruslah membersihkan pemikiran yang masih terkorup.

Pendek kata, perbuatan membangkitkan isu sensitif dan perbuatan label-melabel sewajibnya dihindari. Kerana ia hanya akan mengundang rasa tidak puas hati dan syak wasangka antara kaum serta meningkatkan polarisasi kaum. Tidak perlu kita mencurahkan minyak ke dalam api yang marak.

Sebagai warganegara Malaysia yang mempunyai jati diri tinggi, lebih molek jika kita melahirkan persekitaran yang lebih harmoni yang dapat mengukuhkan silaturahim dan perpaduan antara kaum. Biarlah kita hidup serumpun bak serai, sesusun bak sirih.

Sementelah itu, usaha berterusan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, yang mengingatkan rakyat agar mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara demi keharmonian antara kaum haruslah dipuji.

Kita memerlukan lebih banyak personaliti seperti beliau dan bukannya anasir yang mengganggu gugat kesejahteraan dan kestabilan negara.-UTUSAN

DR. M. Jayakumary ialah Pensyarah Akademik Jabatan Sains Sosial, Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh, Perak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×