MASALAH lembu berkeliaran di Gua Musang, Kelantan yang merupakan pintu masuk utama negeri Che Siti Wan Kembang bukanlah perkara baharu malah dianggap sebagai ‘perangkap maut’ kepada pengguna.
Mana tidaknya, saban tahun ada sahaja kemalangan maut melibatkan pengguna jalan raya dengan haiwan direkodkan.
Terbaharu, pada 21 Februari lalu, seorang wanita maut yang menaiki motosikal bersama dua anak dan suami merempuh seekor anak lembu yang berkeliaran di jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh dalam kejadian pukul 5 petang.
Mangsa, Fazleen Mohd. Yusoff, 31, yang cedera parah di bahagian kepala menghembus nafas terakhir di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian selepas bertarung nyawa selama tiga hari.
Difahamkan kejadian itu berlaku apabila seekor anak lembu secara tiba-tiba melintas jalan telah melanggar hadapan motosikal yang dinaiki oleh empat beranak berkenaan.
PUTUS KASIH IBU PADA ANAK
Pemergian Fazleen pastinya meninggalkan kesan mendalam buat dua anaknya yang masih ‘dahagakan’ kasih sayang dari seorang ibu.
Hal ini kerana kedua-dua anak-anak Fazleen yang masing-masing berusia tiga dan enam tahun memerlukan kasih sayang ibu untuk membesar.
Situasi itu pastinya perit untuk dilalui oleh kedua-dua kanak-kanak berkenaan. Bagaimanapun, kedua-dua kanak-kanak perlu kuat menghadapi dugaan itu supaya tumbesaran tidak terbantut dan sudah pasti kasih sayang ayah menjadi pengubat buat mereka selepas putus hubungan dengan ibu.
LOKASI PANAS
Jalan Sungai Asap-Limau Kasturi, Jalan Felda Chiku 3-Felda Chiku 7, Jalan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 3-RKT Kesedar Chalil, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dan Jalan Sungai Terah-Kampung Meranto antara lokasi ‘panas’ yang sering berlaku kemalangan melibatkan pengguna dengan haiwan berkenaan.
Selain itu, Jalan Felda Chiku 2 dan Taman Agropolitan Rantau Manis turut tersenarai sebagai lokasi panas kemalangan.
Justeru, pengguna jalan raya perlu sentiasa peka dengan persekitaran kerana laluan tersebut sangat gelap pada waktu malam sekali gus menuntut fokus yang tinggi sepanjang pemanduan.
Hal ini kerana, lembu-lembu itu boleh sahaja muncul dan melintas secara mengejut pada bila-bila masa menyebabkan pemandu gagal mengawal kenderaan mereka, seterusnya terlibat dengan kemalangan.
PANGGIL SEMUA PEMILIK
Sudah tibanya masanya pihak berkuasa bersikap tegas ke atas pemilik lembu-lembu tersebut dengan memanggil mereka semua. Kemudian mewajibkan pemilik lembu menandatangani aku janji.
Melalui aku janji itu, semua pemilik perlu bertanggungjawab sekiranya berlaku kemalangan melibatkan pengguna jalan raya dengan lembu. Aku janji itu supaya mereka lebih bertanggungjawab dan tidak bersikap lepas tangan.
Hal ini kerana, setiap kali kemalangan berlaku, tiada seorang pemilik pun tampil bertanggungjawab atas perkara tersebut. Tapi ingatlah semua kelakuan itu sudah direkodkan oleh malaikat Atid.
HUKUMAN LEBIH BERAT
Melihat kepada sikap pemilik lembu yang seolah-olah tidak insaf, sudah tiba masanya pihak berkuasa menggubal undang-undang bagi memastikan hukuman lebih berat dan setimpal dikenakan ke atas mereka.
Hukuman ini bertujuan mendidik supaya mereka peka dengan tanggungjawab menjaga haiwan ternakan agar tidak mendatangkan kecelakaan kepada orang lain.
Tangkap dan kemudian lelong haiwan berkenaan sahaja tidak cukup, sebaliknya pemilik perlu dikenakan hukuman setimpal.
Sebagai pemilik yang dikurniakan akal, janganlah ambil mudah perkara ini. Tambat atau kurunglah lembu-lembu peliharaan anda untuk kesejahteraan pengguna laluan tersebut.
Sampai bila sikap ambil mudah dengan melepaskan lembu-lembu ini seolah-olah tidak bertuan mahu diamalkan.
Ingatlah, kereta yang rosak boleh dibaiki, hilang nyawa tidak boleh diganti.
Kor guana?-UTUSAN
PENULIS ialah koresponden Utusan Malaysia Kelantan.










