Penyaluran wang ehsan tepis tuduhan diskriminasi

Penyaluran wang ehsan tepis tuduhan diskriminasi

WALAUPUN Ahmad Samsuri Mokhtar masih mempertikaikan penggunaan nama Wang Ehsan dan bukannya wang royalti, tidak seperti Mohd. Nassuruddin, namun diharap ia dapat membantu rakyat di kedua negeri berkenaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBELUM ini kerap kedengaran tuduhan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu dan Kelantan diterajui Pas dianak tiri dengan dinafikan hak untuk menerima wang ehsan dana hasil petroleum.

Hal ini antara lainnya diutarakan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Ahli Parlimen Kemaman, yang menyebut mengenai isu tuntutan wang ehsan ketika menyampaikan ucapan perbahasan sulung di Dewan Rakyat pada 5 Mac lalu.

Dalam ucapannya, Ahmad Samsuri berkata, “sudah tiba masanya kita meninggalkan budaya politik diskriminasi akibat warna parti politik dan pilihan yang dibuat oleh rakyat dalam sesuatu proses demokrasi pilihan raya (kerana) diskriminasi terpilih seperti ini adalah budaya lama kolot politik balas dendam yang membawa negara kita ke belakang dan jauh dari keharmonian.”

Beliau juga bertanya, “Pertama, apakah kebaikan dan objektif yang ingin dicapai oleh Kerajaan Pusat dengan memberikan kesukaran kepada negeri Terengganu (dalam mendapatkan wang ehsan) sedemikian rupa? Kedua, adakah langkah menekan Terengganu ini adalah tidak berlawanan dengan sifat ihsan dan hormat yang merupakan dua daripada enam rukun Malaysia Madani?”

Dalam siaran podcast Keluar Sekejap yang dikendalikan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, pada 13 Mac pula, Ahmad Samsuri mendakwa sehingga waktu itu masih terdapat tunggakan sekitar RM600 juta wang ehsan yang belum dibayar oleh Kerajaan Persekutuan kepada Terengganu bagi 2023.

Beliau dengan nada mengugut berkata: “Kesabaran kita ada batas. Ada kalanya mereka tidak perlu mengejutkan haiwan yang sedang tidur, kalau dikejutkan ia umpama ‘newton’s second law’ lah. Akan ada satu masa, pelbagai langkah yang akan diambil. Sekiranya langkah diplomasi ini tidak memberikan hasil dan mereka masih ‘bergembira’ dengan mengenakan tindakan yang pelbagai ini, saya akan step up my pressure dengan menggunakan pelbagai cara. (Akan) ada waktu dan ketikanya.”

Ahmad Samsuri tidak seharusnya kalut jika beliau memahami hasrat Kerajaan Perpaduan. Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 pada 24 Februari 2023 menyebut dengan terang bahawa iltizam kerajaan hari ini adalah untuk menoktahkan kemiskinan tegar.

Sehubungan itu, Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah telah bersetuju untuk menggunakan sebahagian bayaran hasil petroleum ke Sarawak dan Sabah bagi program pembasmian kemiskinan tegar. Selaras dengan itu, Kementerian Kewangan juga akan memperuntukkan sebahagian daripada Wang Ehsan Terengganu dan Kelantan supaya disalurkan secara langsung khususnya untuk membantu golongan miskin.

Anwar ketika berucap di Kemaman pada 29 November 2023 pun pernah menyangkal dakwaan bahawa Kerajaan Perpaduan menafikan hak mana-mana negeri untuk menerima wang ehsan.

“Saya hendak bagitahu kita tidak ambil wang ehsan hak Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak. Tidak bagi kepada dia, tetapi salur ikut keadaan dan langsung kepada rakyat,” kata Anwar.

Pada 8 April, menjelang Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, Kementerian Kewangan secara tiba-tiba mengumumkan kerajaan pada minggu sebelumnya menyalurkan Wang Ehsan berjumlah RM172.3 juta kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan RM58.6 juta kepada Kerajaan Negeri Kelantan bagi membiayai komitmen emolumen Kerajaan Negeri, di samping bayaran RM103.1 juta untuk obligasi Kerajaan Negeri Terengganu kepada kontraktornya.

KOMITED
Anwar sendiri berkata Kerajaan Perpaduan komited memastikan bahawa kerajaan sentiasa terbuka kepada perbincangan serta cadangan daripada Kerajaan Negeri Terengganu dan Kelantan berhubung penggunaan Wang Ehsan supaya dapat dimanfaatkan secara langsung oleh rakyat di kedua negeri berkenaan.

Sebarang baki Wang Ehsan juga diumum akan tetap digunakan untuk negeri Terengganu dan Kelantan melalui projek atau program cakna rakyat seperti program basmi kemiskinan dan projek infrastruktur asas demi kesejahteraan rakyat di negeri tersebut.

Langkah mengagihkan Wang Ehsan ini membuktikan keadilan dan kesaksamaan Kerajaan Perpaduan dalam hal pemberian kepada semua kerajaan negeri. Ini adalah sebagai tambahan kepada peningkatan Pemberian Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri, yang disalurkan kepada semua negeri secara serentak tiap-tiap bulan serta Peruntukan Pembangunan untuk semua negeri bagi 2023 dan 2024.

Ahmad Samsuri dalam kenyataannya pada 26 Februari pernah mengajak semua pihak untuk mengetepikan perbezaan politik, saling bekerjasama dan mengurangkan politik dalam usaha membina negara ke arah yang lebih baik. Ini adalah anjuran baik yang perlu diikuti dengan pelaksanaan.

Ia juga selaras dengan Perutusan Hari Raya Aidilfitri Anwar yang menegaskan bahawa negara ini memerlukan kekuatan semua pihak, semua wilayah, semua kaum dan melonjakkannya ke tahap yang terbaik dan bermaruah. Kita tidak boleh sisihkan malah memusuhi mana-mana kelompok majoriti atau minoriti mana-mana kaum atau agama atau kepercayaan atas apa alasan sekalipun.

Sikap Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud yang mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di atas penyaluran Wang Ehsan ini perlu dipuji. Beliau malah berkata lagi di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau: “Saya ucap terima kasih kepada Perdana Menteri sentiasa bantu Kelantan, bukan sahaja Wang Ehsan tetapi dalam perkara lain juga.”

Ini agak berbeza berbanding Ahmad Samsuri yang sekadar menyebut ringkas “ucapan terima kasih dari pihak pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu” ke atas pemberian itu serta masih mempertikaikan penggunaan nama Wang Ehsan bukannya wang royalti, tidak seperti Mohd. Nassuruddin yang sudah tidak lagi menimbulkan apa-apa isu mengenai nama Wang Ehsan.

Walau apa pun, semoga penyaluran Wang Ehsan menjelang Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini akan mendorong Kerajaan Negeri Terengganu dan Kelantan untuk lebih memberikan kerjasama kepada usaha-usaha Kerajaan Perpaduan membangunkan negara.-UTUSAN

DR. Mashitah Mohd. Udin adalah Pengarah Program Peningkatan Eksekutif Ghazali Shafie (GSEEP) di Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×