Konflik Asia Barat: Kelantan sedia panggil balik pelajar di Jordan

Konflik Asia Barat: Kelantan sedia panggil balik pelajar di Jordan

WAN Roslan Wan Hamat
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan sedia memanggil pulang 267 pelajarnya yang sedang mengikuti pengajian di Jordan jika konflik di Asia Barat makin meruncing susulan serangan balas Iran terhadap Israel kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Wan Roslan Wan Hamat berkata, bagaimanapun tindakan tersebut bergantung sepenuhnya kepada perkembangan situasi semasa krisis berkenaan.

“Kita sudah ada pengalaman sebelum ini semasa berlaku krisis di Mesir. Ketika itu kita panggil balik semua pelajar Kelantan di negara berkenaan.

“Pada masa sama, kita sentiasa memantau arahan dari Wisma Putra. Alhamdulillah, keadaan di Jordan ketika ini kembali berada dalam keadaan baik,” katanya kepada pemberita semasa sidang media Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan di pejabat Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.

Wan Roslan memberitahu, pada masa pihaknya turut mengingatkan pelajar supaya peka dengan perkembangan dan situasi terkini berkait dengan krisis berkenaan.

Katanya, pelajar perlu peka dengan setiap arahan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Jordan.

“Kesemua pelajar itu sedang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang seperti pengajian Islam, ekonomi dan sebagainya di lebih enam buah universiti di negara berkenaan.

“Kerajaan Kelantan sentiasa berhubung dengan pegawai kebajikan di timur tengah untuk mendapatkan perkembangan terkini keadaan pelajar di negara berkenaan,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan, Iran melancarkan lebih 200 dron, peluru berpandu jelajah dan peluru berpandu balistik terhadap Israel, kira-kira pukul 3 pagi tadi (waktu tempatan).

Bagaimanapun, sistem pertahanan Israel dan sekutunya di rantau itu berjaya memintas ‘sebahagian besar’ peluru berpandu dan dron serta ditembak jatuh di luar wilayah Israel.

Serangan balas dendam itu dilancarkan susulan Israel menyerang konsulatnya di Damsyik sehingga mengorbankan tujuh pegawai tertinggi tentera, 1 April lalu.

Teradahulu, selepas beberapa jam ditutup selepas jirannya, Iran melancarkan serangan dron dan peluru berpandu terhadap Israel, Iraq membuka semula ruang udaranya hari ini.

Negara jiran kepada Iraq iaitu Jordan, Lubnan dan Israel turut membuka semula ruang udara mereka.

Pihak berkuasa penerbangan awam Iraq dalam satu kenyataan memaklumkan, pembukaan semula ruang udara dan penyambungan semula perkhidmatan penerbangan di lapangan terbang negara itu, mengambil kira penilaian risiko keselamatan terhadap pesawat penerbangan awam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×