SUDAH menjadi satu rahsia umum bahawa wad kelas tiga di hospital-hospital seluruh Malaysia menghadapi masalah kesesakan, kekurangan kemudahan dan keadaan yang tidak selesa seperti hawa bilik yang panas dan perkongsian bilik air yang kurang selesa bagi pesakit yang dirawat.
Salah satu masalah utama yang dihadapi oleh wad kelas tiga adalah kesesakan yang kronik. Pesakit seringkali terpaksa diletakkan di ruang terbuka yang sempit malah ada yang kadangkala terpaksa ditempatkan di ruang koridor yang boleh meningkatkan risiko penularan penyakit.
Kekurangan kemudahan seperti bilik mandi yang bersih, ruang rehat yang selesa serta akses yang mudah kepada peralatan perubatan dan ubat-ubatan juga merupakan cabaran yang perlu ditangani dengan segera untuk meningkatkan kesejahteraan mereka semasa berada di hospital.
Pengurusan perolehan ubat-ubatan dan peralatan perubatan juga perlu ditingkatkan untuk mengelakkan pembaziran dan memastikan kecukupan bekalan. Penggunaan teknologi lebih meluas pula akan membantu meningkatkan kecekapan dalam pengurusan inventori perubatan.
Krisis di wad kelas tiga ini memerlukan tindakan segera daripada pihak berkuasa untuk memastikan keselesaan dan keselamatan pesakit. Masalah yang ada ini diharap dapat diselesaikan dengan berkesan dan membawa perubahan positif dalam sistem kesihatan negara.
Walaupun masalah-masalah ini banyak diperkatakan dan memerlukan tindakan segera untuk memastikan keselesaan dan keberkesanan perkhidmatan kesihatan, tetapi ia hanya mendapat liputan meluas apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakannya.
Dalam langkah yang jarang-jarang dibuat oleh mana-mana Perdana Menteri, Anwar menziarahi pesakit-pesakit wad kelas tiga di di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selain staf dan kakitangan yang berkhidmat pada musim lebaran pada hari kedua hari raya Aidilfitri.
Anwar berkata, kerajaan bakal menyegerakan penyediaan segala kemudahan dan kelengkapan yang diperlukan di wad kelas tiga HKL, tetapi juga di kawasan pedalaman di seluruh negara seperti klinik di Kapit, Sarawak dan Manek Urai, Kelantan, bagi menjamin keselesaan pesakit.
Terang Anwar selepas lawatan ini, “Seperti yang kita dapat lihat sendiri, wad kelas tiga selalunya panas dan sesak. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, bakal bawa perkara ini ke pengetahuan Jemaah Menteri supaya boleh disegerakan apa yang perlu.”
Komitmen kerajaan untuk menyegerakan penyediaan kemudahan yang diperlukan bagi memastikan keselesaan pesakit yang dirawat yang dibuat sendiri oleh Anwar ini pastilah akan mendatangkan kelegaan kepada golongan bawahan yang menghuni wad kelas tiga ini.
Sewaktu Khairy Jamaluddin menjadi Menteri Kesihatan, beliau pernah mengumumkan pada 12 September 2022 bahawa semua wad kelas tiga bagi setiap projek pembinaan hospital baharu selepas ini akan dilengkapi pendingin hawa untuk memastikan keselesaan semua pesakit.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Projek Bangunan Tambahan Hospital Sultanah Maliha (HSM), Langkawi, sambil menambah bahawa HSM bakal menjadi hospital awam pertama dengan wad kelas ketiganya dilengkapi pendingin hawa pada 2025.
Ini adalah satu langkah baik yang diperkenalkan oleh kerajaan terdahulu. Walaupun begitu kerajaan sekarang ternyata lebih baik dengan akan turut memperkenalkan usaha untuk mengatasi masalah kepanasan dan ketidakselesaan di wad kelas ketiga sedia ada.
Pengumuman Anwar ini sebenarnya tidaklah mengejutkan. Ini kerana sebelum ini pun beliau turut pernah membuat beberapa pengumuman hampir sama bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit yang ditimbulkan melalui lawatan beliau ke beberapa buah hospital lain.
Dalam lawatan beliau ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, pada 3 September 2023, Anwar mengumumkan bahawa Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM500 juta bagi menyegerakan projek-projek naik taraf fasa pertama di HSA.
Jelas Anwar, beliau lihat kesesakan di HSA tidak dapat ditampung lagi, oleh itu proses tender untuk projek RM500 juta ini akan dilakukan secara fast track dan dilaksanakan dalam masa terdekat. Ini termasuk pembinaan parkir bertingkat bagi mengatasi masalah kesesakan.
Lebih mutakhir, pada 9 Mac lalu Anwar dalam perjalanan ke Sungai Petani singgah sekejap memantau keadaan-keadaan yang mendesak yang diperlukan selain projek pembinaan bangunan tambahan yang terlambat disiapkan di Hospital Seberang Jaya (HSJ), Pulau Pinang.
Beliau mengumumkan bahawa Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM1 juta untuk memenuhi keperluan yang mendesak di HSJ, termasuklah mesin ventilator, tangki air, kemudahan ultrasound dan bilik susuan selain berjanji projek akan siap sebelum akhir tahun.
Tindakan ini melambangkan keprihatinan Anwar yang walaupun sibuk dengan pelbagai tugas sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tetapi masih sanggup meluangkan masa sejam dua dari jadual beliau yang ketat untuk membuat lawatan sekali gus menyelesaikan masalah.
Penekanan Anwar ke atas perkhidmatan kesihatan kepada rakyat ini malah jelas dapat dilihat melalui peningkatan terbesar daripada kalangan kementerian yang diberi kepada Kementerian Kesihatan dalam Bajet 2024, iaitu RM41.2 bilion, berbanding RM36.3 bilion sebelumnya.
Daripada dana tersebut, sebahagiannya membabitkan beberapa projek pembangunan baharu seperti pembinaan Kompleks Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Fasa 1 di Kota Tinggi, Johor, dengan kos RM938 juta serta lima buah klinik kesihatan baharu.
Dalam Bajet 2024 ini, Anwar mengumumkan, bagi mengawal kesesakan di hospital awam, kerajaan akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan menyumber luar pesakit ke hospital lain termasuklah hospital tentera, universiti dan swasta dengan peruntukan RM200 juta.
Selain itu, sejumlah RM300 juta disediakan untuk membaik pulih 400 buah klinik uzur manakala sejumlah RM766 juta turut disediakan untuk perolehan peralatan perubatan di hospital awam bagi menggantikan peralatan yang mencecah Beyond Economic Repair (BER).
Seterusnya ialah perluasan ke seluruh negara Skim Perubatan MADANI dengan peruntukan RM100 juta yang memanfaatkan 700 ribu rakyat sekali gus menggalakkan penyertaan lebih ramai pegawai perubatan am swasta seterusnya mengurangkan kesesakan di hospital awam.
Penulis ialah Pegawai Tadbir di Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU). – UTUSAN










