UNTUK sahut seruan menyemarakkan keharmonian dan perpaduan, elok saja parti-parti bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu meletakkan calon-calon Melayu.
Bukan apa, jika dua lawan, seorang Melayu dan pesaingnya bukan Melayu, lain pula ceritanya. Akan dimainkan isu, kontroversi, berlegar fitnah dan persepsi dicetuskan jentera kempen parti tertentu. Jika Perikatan Nasional (PN) kemukakan calon Melayu, Pakatan Harapan (PH) elok ikut sama.
Buat DAP, penyandang kerusi Kuala Kubu Bharu selama tiga penggal dipercayai tidak berdepan masalah letakkan calon Melayu kali ini.
Utusan Malaysia difahamkan, antara yang akrab dengan Lee Kee Hiong sewaktu mendiang aktif sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri di situ adalah ahli Majlis Perbandaran Hulu Selangor, Saripah Bakar. Saripah, penduduk tempatan, aktif pula dalam aktiviti kebajikan dan pembangunan wanita di Kuala Kubu Bharu.
Dengan demografi pengundi menyaksikan pengundi Melayu lebih dari Cina dan India, DAP tidak akan rugi di Kuala Kubu Bharu. Lagipun penampilan calon Melayu dari DAP bukanlah baharu.
Di Perak dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Mei 2018, DAP bertanding tujuh kerusi Parlimen dan 18 kerusi DUN. Menang kesemua kerusi Parlimen dan DUN sehinggakan ADUN Tebing Tinggi, Dr. Abdul Aziz Bari pernah dicanang bakal menteri besar. Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac 2022, DAP menampilkan dua calon Melayu iaitu Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Ali di DUN Paloh manakala Skudai diwakili Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Marina Ibrahim. Kedua-duanya menang. Awal sebelum itu dalam PRN Melaka 20 November 2021, calon Melayu dari DAP, Muhamad Danish Zainudin tewas di DUN Pengkalan Batu.
PRU15 pada 19 November 2022 membuktikan calon Melayu DAP mampu menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila mereka tidak hilang deposit di kerusi Parlimen yang mempunyai lebih 70 peratus pengundi Melayu. Antaranya Gerik, Jerai, Pontian dan Mersing. Padahal waktu itu arus ‘gelombang hijau’ membadai kerusi-kerusi tersebut.
Calon Melayu DAP turut memenangi kerusi campuran Parlimen Bangi dan Bentong pada tahun lalu. Calon DAP, Syahredzan Johan menang besar mengatasi tujuh calon lain di Parlimen Bangi dengan majoriti 69,701. Di Bentong pula, Young Syefura Othman atau lebih dikenali Rara meraih 25,075 undi dengan majoriti 692 undi menewaskan pencabar terdekat, calon BN, Tan Sri Liow Tiong Lai (24,383) dan tiga calon lain.
PERKAUMAN
Semasa kempen PRN Johor, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong berkongsi dengan akhbar ini tujuan parti itu meletakkan calon Melayu. Antaranya sebagai perancangan jangka panjang untuk mengubah persepsi terhadap parti itu sebagai perkauman.
DAP, katanya, bukanlah parti berteraskan Cina sebaliknya mewakili semua kaum termasuk Melayu dan India. Malah, tegas Chin Tong, penampilan calon Melayu dari DAP bukan untuk mengejar jawatan menteri besar.
“Bagi DAP sebenarnya kami berharap (letak calon Melayu) jadi jangka panjang. Memang ada objektif jangka pendek iaitu untuk memenangi kerusi tetapi ada objektif jangka panjang iaitu mewujudkan satu parti di mana kita tidak lagi berasaskan perkauman.
“Idea kami pada satu hari nanti adalah tidak akan ada isu perkauman sebaliknya membicarakan isu dasar.
“Tidak kira pemimpin apa bangsa dalam DAP, rakyat akan terima kami mewakili nilai-nilai yang rakyat suka dan terima serta dasar-dasar yang diperjuangkan kita diterima mereka, tidak berasaskan kaum,” katanya.
Kata Chin Tong lagi, meskipun dimomokkan sebagai parti Cina namun DAP berjaya meletakkan calon Melayu di kerusi ditandingi berbanding MCA hanya mempertaruhkan calon dari kaum itu.
“Untuk kami dan parti politik mara perlunya change the rule of game (ubah rentak permainan) iaitu tidak boleh lagi berasaskan kaum,” katanya.
Suatu ketika DAP dipersoalkan motifnya menampilkan calon-calon Melayu – antaranya dakwaan mahu menguasai tampuk pentadbiran kerajaan.
Dan mempertikaikan mengapa tidak dibiarkan sahaja Amanah dan PKR, dua komponen dalam kerajaan perpaduan menguruskan senarai calon Melayu, dan mengapa pula DAP ‘menyibuk’ sama dengan calon Melayunya.
Padahal sejak dulu lagi calon Melayu tiada tempat dalam senarai calon pilihan raya DAP, kalau ada pun sekelumit. Juga dalam siri pemilihan ahli jawatankuasa tertinggi pusat (CEC) DAP pun calon Melayu tidak tertonjol. Didominasi calon-calon mereka sahaja.
EKSTREM
Apa pun, politik Malaysia hari ini sudah semakin terbuka. Dinamik lagi. Hendak mengharap parti-parti Melayu, mereka ini bercakaran dan bertelagah sesama sendiri. Khidmat bakti kepada rakyat menjadi kerja sampingan, sebaliknya asyik berpolitik sepanjang masa. Rugi bangsa dan agama.
Di sebalik itu, pengundi bukan Melayu pula cukup terbuka menerima calon Melayu di kawasan campuran, asalkan calon berkenaan berwibawa serta amanah.
Inilah yang harus diambil iktibar oleh orang Melayu. Seakan sudah hilang status quo pula dalam menentukan untung rugi, jatuh bangun dan simpang siur nasib bangsa sendiri – meski masih membentuk bangsa majoriti dalam Malaysia.
Ada ketika kita cukup risau. Adakah kefahaman mengenai kedudukan orang Melayu sebagai bangsa teras dalam kemajmukan Malaysia semakin pudar secara perlahan-lahan?
Prinsip first amongs equal atau ‘pertama di antara yang sama’ – sebagai prinsip asas pembinaan Malaysia pula semakin dicabar oleh pihak yang mahu menggantikannya dengan prinsip-prinsip yang lain?
Mahu membela kepentingan bangsa, dikatakan pula rasis dan tidak toleran? Janggal kerana apabila orang Melayu mahu mempertahankan kedudukan Islam, mereka dikatakan ekstrem, walhal Islam sudah sedia termaktub sebagai agama Persekutuan?
Dan janggal kerana apabila orang Melayu menuntut haknya dalam bidang ekonomi, pendidikan dan sosial, maka mereka digelar sebagai pengguna ‘tongkat’ yang tegar dan gagal untuk berdiri di atas kaki sendiri?
PRK Kuala Kubu Bharu – tepuk dada, terserah kepada PH (DAP) dan PN muktamadkan pilihan calon anda. – UTUSAN










