PETALING JAYA: Rejim Zionis meneruskan serangan ketika bulan Syawal dengan mensasarkan antaranya melumpuhkan pasukan perubatan untuk penduduk palestin di Gaza.
Pengerusi Sekreteriat Ops Ihsan Palestin, Jismi Johari berkata, sejumlah 120 van dijadikan ambulans yang digunakan untuk membantu penduduk Palestin dimusnahkan oleh Israel baru-baru ini.
“Bukan sekadar pasukan perubatan atau ambulans, Israel turut mensasarkan pusat bantuan kemanusiaan dan sukarelawan di Rafah dan Khan Younis untuk diserang.
“Israel masih meneruskan pembantaian ke atas orang awam serta mengkhususkan sasaran kepada pekerja kemanusiaan dan wartawan walaupun ketika Aidilfitri,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Terdahulu, pemimpin utama gerakan Hamas iaitu Ismail Haniyeh kehilangan tiga anak lelakinya iaitu Hazen, Amir dan Muhammad serta beberapa cucu akibat terbunuh dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza.
Susulan itu, Malaysia mengutuk serangan berterusan Israel terhadap penduduk Palestin termasuk serangan udara di kem pelarian di utara Gaza semasa mereka merayakan Hari Raya Aidilfitri.
Kementerian Luar berkata, tindakan kejam Israel jelas menunjukkan kebencian dan bertentangan dengan simbol sambutan perayaan iaitu prinsip kemanusiaan, keamanan dan belas kasihan.
Mengulas lanjut, Jismi berkata, sebanyak 200 lori bantuan kini dibenarkan masuk ke Gaza untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan.
“Ekoran tekanan antarabangsa kerana Israel menyerang sukarelawan World Central Kitchen, rejim itu kemudian membenarkan lebih 200 lori masuk sehari berbanding kurang 100 lori sehari sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, penghantaran bantuan melalui udara dari segi teknikal adalah rumit.
“Banyak bantuan jatuh ke laut dan ada yang memusnahkan panel solar hospital. Malah ada yang menimpa orang awam sehingga membawa maut.
“Dari segi kos pula, kosnya melebihi RM1 juta untuk satu penghantaran dan jumlah bantuan adalah terhad. Adalah lebih praktikal sekiranya segala jalan masuk ke Gaza dibuka sepenuhnya,” ujarnya. – UTUSAN










