Tiada kemungkinan OPR turun tahun ini – Penganalisis

Tiada kemungkinan OPR turun tahun ini – Penganalisis

OPR semasa berada pada 3.0 peratus sejak dinaikkan kali terakhir pada Mei 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) tidak mungkin menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tahun ini disebabkan andaian Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) akan diturunkan, kata penganalisis.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kadar faedah Fed antara 4.25 peratus ke 4.5 peratus masih lebih tinggi dari OPR semasa iaitu pada 3.0 peratus.

“Fed AS mengatakan pihak­nya akan menurunkan kadar faedah sekiranya kadar inflasi di AS menurun ke arah mencapai sasarannya 2.0 peratus, malah kadar semasa tidak akan dinaikkan lagi melebihi 5.5 peratus semasa berdasarkan unjuran tahun 2024. 

“Unjuran para pengurus dana global bahawa Fed akan menurunkan kadar faedahnya bermula jun 2024, masih lagi tidak pasti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau berkata, keputusan itu bergantung kepada ekonomi AS yang terus mengembang mengikut data-data dikeluarkan seperti kadar pengangguran yang menurun, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bulanan yang terus naik dan pertambahan jumlah pekerjaan baharu.

Katanya, perkara itu yang menjadi faktor untuk terus mendorong kadar inflasi AS untuk kekal di atas 3.0 peratus setakat ini.

“Bagaimanapun, ia akan menguatkan ringgit serta mata wang lain berbanding dolar AS, serentak dengan pemotongan kadar faedah oleh Fed. 

“Kemungkinan bank-bank pusat negara industri seperti United Kingdom (UK), Jerman, Canada, Australia dan lain-lain akan menurunkan kadar faedah mereka seiring dengan Fed AS, justeru ini akan merancakkan ekonomi dunia dan kadar pinjaman yang lebih rendah,” katanya.

Beliau berkata, ia turut akan mengembalikan pertumbuhan perdagangan global yang lebih sihat, termasuk menjadi pencetus kepada eksport Malaysia kembali berkembang.

Penganalisis Ekonomi, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob turut berpandangan sama dengan menjangkakan BNM tidak menurunkan OPR tahun ini, berikutan ekonomi negara yang dilihat masih belum berada pada tahap memberangsangkan lagi.

”Bagaimanapun, jika turun, ia mungkin juga menggalakkan orang ramai dan korporat membuat pinjaman baharu untuk menambah modal pusingan,” katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohamad Khair Afham Muhamad Senan turut berkata, OPR dijangkakan kekal pada 3.0 peratus, walaupun Fed AS menurunkan kadar faedah mereka.

Beliau berkata, penurunan OPR akan merencatkan sedikit proses pemulihan nilai ringgit. 

“Jurang antara kadar faedah Fed AS turun dengan OPR kekal sepatutnya akan lebih mengecil dan akan membantu mengukuh­kan nilai ringgit. 

“Tetapi, jika OPR turut sama turun, proses ini akan menjadi lebih terencat,’ katanya.

Khair menambah, jika OPR turun, ia tidak semestinya mampu merancakkan lagi ekonomi sekurang-kurangnya dengan efek yang mencukupi disebabkan dari sudut fiskal rakyat yang sudah sedia terbeban dengan kenaikan cukai. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×