Kurangkan penggunaan air mulai bulan ini hingga Jun - PBAPP

Kurangkan penggunaan air mulai bulan ini hingga Jun – PBAPP

K. PATHMANATHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pengguna air di Pulau Pinang dinasihatkan agar mengurangkan penggunaan air sebanyak 10 peratus mulai bulan ini sehingga Jun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir. K. Pathmananthan berkata, penjimatan air sebanyak 10 peratus itu akan membantu memastikan bekalan air mencukupi untuk semua pengguna tahun ini.

“Dalam hal ini, PBAPP ingin mengingatkan pengguna air di Pulau Pinang supaya berhemat menggunakan air sehingga hujan turun bagi menambah simpanan air mentah di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.

“Ini kerana, pada Februari lalu, purata penggunaan air di Pulau Pinang ialah sebanyakn 927 jutaliter sehari (JLH), berbanding purata tahunan 877 JLH bagi tahun 2023,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, pada Mac lalu, PBAPP merekodkan sebanyak 66.5 milimeter (mm) hujan di kawasan tadahan air (KTA) Empangan Air Itam.

“PBAPP telah berusaha untuk menstabilkan kapasiti efektif empangan ini melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP2024). Kapasiti efektif empangan kemudiannya turun sebanyak 2.0 peratus dalam tempoh 31 hari.

“Sementara itu, kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang pula turun sebanyak 11 peratus dalam tempoh yang sama. Pada Mac 2024, taburan hujan yang direkodkan di KTA Empangan Teluk Bahang ialah 133 mm,” katanya.

Tambah Pathmananthan, kapasiti efektif maksimum bagi Empangan Teluk Bahang ialah 18,240 juta liter (ML) manakala kapasiti efektif Empangan Air Itam pula ialah 2,160 ML.

“Oleh yang demikian, penurunan sebanyak 1.0 peratus dalam kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang secara kasarnya bersamaan dengan penurunan 8.4 peratus dalam kapasiti efektif Empangan Air Itam,”katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, ramalan cuaca antarabangsa menyatakan bahawa fenomena El Nino (cuaca panas dan kering) pada suku pertama 2024 berkemungkinan memberi laluan kepada fenomena La Nina (cuaca basah dan hujan) yang akan bermula dari Mei, Jun atau Julai tahun ini.

“METMalaysia meramalkan hujan sederhana untuk Pulau Pinang pada April, Mei, Jun dan Julai ini. Bagaimanapun, ini adalah ramalan. Kita tidak pasti bahawa hujan sebenar akan mencukupi untuk meningkatkan kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang dengan ketara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, demi memastikan keselamatan bekalan air untuk Pulau Pinang, PBAPP ingin merayu sekali lagi kepada semua pengguna air untuk mengurangkan penggunaan air sebanyak 10 peratus pada April, Mei dan Jun ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×