Penduduk Gaza beriktikaf di sebalik runtuhan masjid

Penduduk Gaza beriktikaf di sebalik runtuhan masjid

RAKYAT Palestin menghadiri solat Jumaat di hadapan runtuhan masjid al-Faruq di Rafah di selatan Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Sepanjang bulan Ramadan, penduduk Palestin di Gaza terpaksa menunaikan ibadah solat dan beriktikaf di sebalik serpihan dinding-dinding masjid yang musnah akibat sasaran tindakan jenayah Israel.

KENANG IKTIKAF DI MASJID 

Sejak perang bermula, Israel memusnahkan lebih separuh infrastruktur awam di Gaza secara sistematik melibatkan lebih 175,000 binaan kediaman, hospital, masjid, bangunan bersejarah dan mercu tanda Gaza.

Memuatkan artikel berkaitan…

Antaranya, Masjid Al-Hassaina yang terletak di pintu masuk pelabuhan Gaza City.

Masjid yang menghadap ke Pantai Mediterranean itu dikenali sebagai antara pusat ibadat  paling indah dan terkenal di Semenanjung Gaza. 

Namun masjid itu kini hanya tinggal runtuhan selepas dibedil Israel.

Penduduk, Salah Haroun mengakui tidak boleh berhenti memikirkan kekosongan rohani yang ditinggalkan oleh kemusnahan Masjid Al-Hassaina, terutama semasa Ramadan.

“Setiap tahun, saya dan rakan-rakan saya biasa menunaikan solat malam dan beritikaf di Masjid Al-Hassaina.

“Saya dari kem pelarian Al-Nuseirat di tengah Gaza, tetapi sejak dibuka, enam tahun lalu, saya komited untuk melakukan Itikaf di Masjid Al-Hassaina. Saya pernah ke sana bersama enam rakan selepas solat asar dan hanya bertolak selepas solat subuh,” jelasnya.

Salah turut terkenang keindahan sepuluh malam terakhir Ramadan tahun lalu ketika penduduk berpusu-pusu mencari keberkatan malam Lailatul Qadar dengan bermalam dan moreh di hampir semua masjid di Gaza.

“Imam masjid, Ahmed Safadi, mempunyai suara yang sangat indah dan merdu. Ketenangan yang berlaku di masjid membuatkan kami komited selama enam tahun untuk menunaikan solat malam pada sepuluh malam terakhir Ramadan.

“Kami pernah duduk di perkarangan barat masjid, yang menghadap terus ke pelabuhan Gaza dan laut. Bunyi ombak memberi keselesaan kepada jiwa kami, dan suasana kerohanian di masjid tidak dapat ditandingi di tempat lain,” katanya.

KEINDAHAN RAMADAN DIRAMPAS

Jelasnya, tiada siapa menjangkakan Israel akan memusnahkan masjid Al-Hassaina, yang mewakili mercu tanda penting umat Islam di Gaza.

“Saya terkejut apabila melihat gambar masjid diratakan ke tanah oleh tentera pendudukan Israel. 

“Tiada keindahan yang tinggal sekarang. Tetapi ia tidak melunturkan iman dan kekuatan kami untuk mengharungi Ramadan kali ini walaupun amat pahit.

“Kesedihan atas kehilangan tempat penting itu bercampur dengan kedukaan merindui rakan dan ahli keluarga kami yang dibunuh oleh Israel dalam perang genosid mereka,” kata Salah sambil mengesat air matanya. 

Perkara sama turut diluahkan pelajar berusia 19 tahun di selatan Gaza, Yara Mahdi, mengenang keindahan bulan Ramadan yang ditunggu-tunggu sejak kecil kini pudar akibat kemusnahan, perpindahan dan kekurangan makanan yang dibawa rejim Zionis tahun ini.

Katanya, penduduk Gaza hari ini seumpama berdepan Ramadan paling berdarah kerana sudah lama terbiasa dengan jamuan mewah, hiasan jalan yang berwarna-warni dan lampu kelip-kelip semasa bulan suci itu.

“Ramadan di Gaza pernah menjadi masa paling indah dalam setahun, bulan yang paling kami cintai.

“Ia adalah masa untuk perhimpunan keluarga, jamuan yang melimpah ruah dan malam-malam yang penuh dengan tawa, cinta, kehidupan dan amal. Bukan imej yang anda lihat hari ini,” katanya kepada Arab News.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×