BERDEBAR-DEBAR. Itulah perasaan yang sedang dirasakan pelajar lepasan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi sesi 2023 yang telah memohon untuk masuk ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi Sesi Akademik 2024/2025.
Sudah pasti ada yang tak lena tidur menantikan keputusan peperiksaan dan seterusnya keputusan kemasukan ke IPTA. Malah, ibu bapa mereka juga menanti dalam debaran dan penuh harapan.
Inilah titik persimpangan penting bagi setiap pelajar setelah bertungkus lumus berusaha keras selama bertahun-tahun mempersiapkan diri bagi menduduki peperiksaan penting ini. Akhirnya, tiba masanya menunggu keputusan bagi melangkah ke tahap seterusnya.
Pada saat-saat begini, pelbagai soalan akan bermain di fikiran. Adakah impian untuk menyambung pelajaran ke IPTA pilihan akan menjadi kenyataan? Mungkinkah pilihan pertama yang diisi pada borang Unit Pusat Universiti (UPU) akan diterima?
Konsep asal sabut terapung, asal besi tenggelam tidak boleh diguna pakai dalam memilih jurusan dan IPTA. Hal ini penting kerana pilihan ini bakal menentukan pengalaman hidup sebagai mahasiswa dan seterusnya melakar kehidupan masa depan.
Pemilihan universiti yang sesuai dan jurusan yang bakal diambil harus dilakukan dengan teliti agar kita dapat belajar dengan efektif dalam suasana persekitaran yang kondusif dan bersesuaian dengan minat, bakat dan kebolehan.
Justeru, jangan pula membuat pilihan hanya kerana mahu kekal bersama kawan-kawan, terpengaruh dengan pilihan mereka atau memilih apa sahaja yang terlintas di hati kerana tidak tahu apa yang patut dipilih.
Ramai juga yang memilih jurusan hanya kerana prestij, walaupun bertentangan dengan minat. Malah ibu bapa dan guru-guru sering menggalakkan pelajar cemerlang memilih bidang yang dikira bersesuaian dengan kepintaran mereka seperti perubatan, kejuruteraan dan sebagainya.
Namun hari ini, waima sehebat manapun jurusan yang dipilih, persaingan untuk pasaran kerja tetap getir. Mahasiswa tidak kira daripada bidang pengajian apapun harus berusaha mengasah bakat dan meningkatkan kemahiran insani kerana ijazah semata-mata sudah tidak lagi menjanjikan bulan dan bintang seperti dahulunya.
Di sesetengah bidang teknologi dan pembuatan, kita akan bersaing dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang lebih murah, cekap dan efisien daripada manusia. Oleh itu, kita harus mampu menawarkan kebolehan dan keistimewaan lain yang tidak boleh ditandingi AI untuk terus berada di hadapan.

BERBEZA
Di antara perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh bakal mahasiswa ialah persediaan berdepan pelbagai perbezaan sama ada dari segi pembelajaran mahupun faktor sekeliling. Ini kerana, di IPT, tidak seperti sistem persekolahan dahulu, cara serta kurikulum pembelajaran di setiap universiti awam adalah berbeza-beza. Oleh itu, pengalaman belajar juga sudah tentunya berbeza.
Walaupun menawarkan kursus yang sama, namun setiap universiti merangka disiplin pembelajaran, modul pendidikan dan keperincian mata pelajaran mereka sendiri berdasarkan falsafah, prinsip dan visi universiti masing-masing.
Sebagai contoh, di universiti tempat saya belajar iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), keseluruhan pengurusan program akademik universiti harus selari dengan Kerangka Akademik Sejahtera yang menerapkan pembelajaran ilmu pengetahuan bersepadu.
Berteraskan visi penyepaduan ilmu serta konsep pendidikan secara holistik, proses pendidikan kami berbentuk menyeluruh dan bukan setakat terhenti kepada pelajaran akademik di dewan kuliah semata-mata. Malah ia turut merangkumi pembangunan mampan serta nilai-nilai moral dan kerohanian Islam.
Penerapan nilai kemanusiaan dalam pendidikan sewajarnya menjadi asas kepada penerapan ilmu. Manusia sepatutnya dididik supaya mempunyai kesedaran sosial yang tinggi serta belajar menghormati, bergaul dan berbakti kepada komuniti sekeliling di samping belajar daripada mereka.
Konsep ilmu pengetahuan bersepadu membenarkan kami belajar merentas kepakaran berbeza-beza. Ini memberi nilai tambah kepada pengalaman belajar dan membuka minda kami dalam menilai sesuatu perkara daripada sudut pandangan berbeza serta memberi nilai tambah kepada ijazah kami nanti.
UIAM, sebagai contoh, merupakan salah satu universiti yang membenarkan pelajarnya merangka sendiri jadual pembelajaran mereka, memilih kelas yang mahu diikuti serta memilih subjek elektif luar program menurut minat dan kebolehan pelajar. Ia selaras dengan konsep permerkasaan dan pembolehdayaan mahasiswa yang sering dilaung-laungkan oleh semua pelajar universiti.
Minggu lalu saya telah mempengerusikan Sidang Komuniversiti UIAM yang sulung, berlangsung di kampus UIAM Kuantan. Semasa sidang tersebut, para perwakilan pelajar berkumpul bagi membincangkan isu berbangkit serta mencari cadangan penyelesaian yang akan dibawa kepada pengurusan universiti atau ditangani pelajar sendiri.
Daripada sibuk termakan dengan idea aktivisme mahasiswa bercorak radikal, sebaliknya mahasiswa perlu bersikap lebih komunikatif dan berunding atau berbincang secara sihat. Penyelesaian haruslah dicari secara berganding bahu, bukan dengan mendesak orang lain untuk menyelesaikan masalah kita.
Belajar di universiti bukan setakat menghafal untuk lulus dalam peperiksaan seperti yang dipraktikkan oleh sesetengah pelajar ketika di bangku sekolah. Tanpa pemahaman yang baik, kita akan menghadapi kesukaran untuk menyelesaikan tugasan.
Justeru, memilih bidang yang tepat dan bersesuaian dengan minat, bakat dan kebolehan adalah amat penting agar kita tidak berdepan banyak masalah di universiti. Setiap daripada kita harus mengenali diri sendiri dan jujur dalam menilai kelebihan dan kekurangan diri.
Belajar sudah tentu ada pahit manisnya. Ilmu tidak akan datang dengan sendiri tetapi harus dituntut dengan bersungguh-sungguh dan memerlukan pengorbanan. Jika tidak dipecah ruyung, di mana boleh mencapat sagu.
Pendidikan di universiti bukan sekadar pengajian akademik semata-mata. Timbalah pengalaman dan asah bakat anda supaya kita menjadi lebih bijaksana dan mampu berbakti kepada bangsa dan negara.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











