Aidilfitri: Kenderaan bertambah 80 peratus, polis nasihat banyak bersabar

Aidilfitri: Kenderaan bertambah 80 peratus, polis nasihat banyak bersabar

MOHAMED Usuf Jan Mohamad (tiga dari kiri) ketika mengagihkan 'goodies bag' kepada pengguna jalan raya yang melalui Plaza Tol Juru arah utara, berhampiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Peningkatan mendadak jumlah kenderaan yang memasuki Pulau Pinang sempena sambutan Aidilfitri kali ini iaitu sehingga mencapai 80 peratus boleh mengundang pelbagai risiko termasuk kemalangan.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya lebih banyak bersabar dan berhati-hati ketika berdepan kesesakan sepanjang musim perayaan ini.

“Bayangkan, dalam keadaan biasa pun kita sudah ada tak kurang daripada 1.3 juta kenderaan (di Pulau Pinang). Musim perayaan (hari raya) pula kita jangka akan bertambah kepada 2.4 juta (kenderaan) atau lebih. Jadi, apabila meningkat sampai 80 peratus ini pastinya kita perlu lebih berjaga-jaga,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Op Selamat 22 yang bertemakan ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’ sempena Hari Raya Aidilfitri 2024, berhampiran Plaza Tol Juru arah utara di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Usuf berkata, lebih 800 pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang akan bertugas sepanjang sambutan Aidilfitri kali ini.

Katanya, penugasan itu akan dibuat mengikut kaedah ‘omnipresence’ atau peningkatan jumlah kehadiran anggota polis di lokasi-lokasi panas kemalangan atau ‘blackspot’ dan lokasi panas kesesakan iaitu ‘hotspot’.

Jelas beliau, antara lokasi panas itu terutamanya yang sering berlaku kemalangan ialah di Jalan Teluk Air Tawar-Jalan Bagan Luar, Jalan Perusahaan Perai-Jalan Kulim, Jalan Besar Simpang Empat iaitu antara Kilometer (KM) 12 hingga 32, Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu-Jalan Ayer Itam, Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Tun Dr. Awang.

“Selain itu, polis turut mengesan enam kesalahan utama yang sering dilakukan pengguna jalan raya sehingga menyumbang kepada berlakunya kemalangan seperti memandu melebihi had laju yang dibenarkan, tidak mematuhi lampu isyarat, memotong barisan, memotong garisan berkembar, menggunakan lorong kecemasan dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu,” ujar Mohamed Usuf.

Dalam perkembangan berasingan, beliau memberitahu, pihaknya turut meningkatkan pemeriksaan dan kawalan keselamatan di beberapa lokasi tumpuan di negeri ini susulan penahanan seorang lelaki warga Israel bersama enam senjata api di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, Rabu lepas.

“Dalam hal ini, polis Pulau Pinang juga akan lebih berwaspada dan mengambil langkah awal iaitu dengan meningkatkan kawalan keselamatan bagi mencegah sebarang insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Selain lelaki warga Israel berusia 36 tahun itu yang dipercayai bertindak sebagai suspek utama, turut ditahan ialah tujuh individu lain bagi membantu siasatan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini