Bertahun di perantauan, harap Aidilfitri bersatu

Bertahun di perantauan, harap Aidilfitri bersatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Air dicincang tidak akan putus. Baik buruknya adik-beradik, mereka tetap darah daging dan lahir daripada rahim yang sama.

Umpama ‘carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga’, peribahasa yang dikaitkan dengan hubungan kekeluargaan melibatkan adik-beradik itu begitu mendalam yang membawa maksud, perselisihan sesama keluarga akhirnya akan berbaik kembali.

Itulah yang diharapkan Suhaila (bukan nama sebenar) agar perbalahan antaranya dan adik-beradik tidak berpanjangan.

Suhaila yang saya temui baru-baru ini mengakui masih berusaha memastikan ibu dan adik-beradik, terutama abang sulungnya, Malek (bukan nama sebenar) menerimanya kembali.

Memulakan cerita, kata Suhaila, selepas hampir lima tahun beraya di perantauan, tahun ini dia kembali ke tanah air.

Walaupun berita kepulangannya tidak begitu disenangi abang dan dua kakak, dia tetap nekad untuk meraikan Aidilfitri bersama mereka.

Katanya, bukan mudah untuk mengembalikan ikatan kekeluargaan yang telah hilang selama hampir enam tahun.

“Saya pulang ke tanah air sejak sebulan lalu. Dalam tempoh itu saya masih berusaha untuk memujuk keluarga menerima diri ini kembali.

“Pelbagai usaha dibuat untuk memenangi hati ibu, namun gagal kerana pelbagai cara cuba diambil mereka untuk tidak membenarkan saya berjumpa ibu,” ujarnya.

Suhaila hampir putus asa selepas usahanya tidak membuahkan hasil.

Jauh di sudut hati, dia berharap raya kali ini dapat diraikan bersama keluarga terutama ibu yang dirindui.

“Saya sedar apa yang saya lakukan dahulu terlalu mengikut kata hati, namun saya percaya dengan qada dan qadar

“Nick adalah jodoh yang ditetapkan Allah buat saya. Alhamdulilah sehingga ke hari ini kami berupaya melalui ujian diberikan Ilahi,” kata Suhaila.

Bercerita lanjut, katanya, sepanjang hampir enam tahun hidup di perantauan, dia terlalu rindukan orang tua dan keluarga.

Namun, dia terpaksa memendam rasa kerana hidup mereka sekeluarga tidak mengizinkan ketika itu.

Kata-kata Malek agar dia tidak menjejakkan kaki ke rumah ibu bapa masih terngiang-ngiang di telinganya.

Kata Suhaila dia tidak menyangka tindakan berkahwin dengan Nick menimbulkan kemarahan besar abang sulungnya itu.

Lebih terkilan, semasa kematian bapa dua tahun lalu, dia langsung tidak diberitahu mengenainya

“Saya hanya mengetahuinya selepas dua bulan ayah ‘pergi’.

“Paling menyedihkan, abang tidak membenarkan saya pulang ke tanah air untuk menziarahi pusara ayah.

“Malah, saya langsung tidak berpeluang bercakap dengan ibu,” katanya.

Mengimbau kisah enam tahun lalu, Suhaila memilih berkahwin dengan Nick, jejaka Afrika selepas tamat pengajian di sebuah universiti tempatan.

Mengikut perancangan, dia akan mengikut Nick, seniornya semasa di universiti yang sudah setahun bekerja di Tokyo, Jepun,
Bagaimanapun, hasratnya ditentang keluarga terutama abang sulung.

“Ayah dan ibu ketika itu juga berat hati membenarkan saya berkahwin dengan memberi pelbagai alasan.

“Alasan itu termasuk saya baru sahaja menamatkan pengajian,” ceritanya.

Namun, kata wanita berusia awal 30-an itu, selepas beberapa kali memujuk, kedua ibu bapa akur akhirnya.

Dia dan Nick disatukan dalam majlis sederhana yang dihadiri ahli keluarga dan saudara-mara terdekat.

Pada majlis itu batang hidung Malek langsung tidak kelihatan.

Selepas seminggu berkahwin, Suhaila mengikut Nick ke Tokyo.

Semasa di sana, Suhaila tidak duduk diam dan berusaha memohon beberapa pekerjaan sesuai kelulusannya dalam bidang sains kemanusiaan dan psikologi.

Seminggu, sebulan dan memasuki setahun, namun tidak membuahkan hasil.

“Saya disahkan hamil ketika usia perkahwinan mencecah lapan bulan. Ketika itu Nick meminta saya menangguhkan usaha mencari pekerjaan dan menumpukan sahaja perhatian kepada kandungan. Jika saya ingin bekerja pun hanya selepas bayi kami lahir,” ceritanya.

Langit tidak selalu indah dan cerah selamanya.

Pada usia kandungan hampir sembilan bulan, Suhaila diuji apabila Nick ditimpa kemalangan di tempat kerja.

Berikutan kemalangan itu, kaki Nick terpaksa dipotong. Dalam tempoh itu Suhaila terpaksa berulang alik ke hospital untuk membuat pemeriksaan kandungan, juga rawatan susulan suami.

Walaupun Nick mendapat pampasan daripada majikan, Suhaila nekad untuk mencari pekerjaan bagi menampung keperluan mereka sekelurga.

Rezeki anak, selepas habis pantang Suhaila mendapat tawaran bekerja di sebuah agensi pelancongan di Tokyo.

Walaupun pekerjaannya itu berbeza dengan jurusan yang dipilih semasa di universiti, dia tetap memanjatkan kesyukuran.

Kata Suhaila, semasa diuji dengan kemalangan yang menimpa suami, pernah dia terfikir untuk pulang ke tanah air.

Namun, dia tidak sanggup berdepan dengan keluarga, terutama abang sulung yang akan memulangkan paku buah keras kepadanya.

Minggu memasuki bulan, bulan berganti tahun, Suhaila meneruskan kehidupannya bersama suami dan anak.

Dalam tempoh itu juga, dia berulang-alik ke hospital untuk membawa Nick menerima rawatan susulan.

“Syukur kerana selepas menjalani beberapa pembedahan dan memasang kaki palsu, suami kembali sihat dan bersemangat,” katanya.

Sebelum mengakhiri perbualan lewat petang itu Suhaila mengakui dalam setiap sujudnya sentiasa berdoa agar ibu dan adik-beradik menerimanya kembali.

Suhaila mahu mengambil kesempatan dengan kehadiran Aidilfitri untuk mengeratkan hubungan persaudaraan yang renggang.

Dia mahu menyambut Aidilfitri kali ini dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran sebagai tanda meraikan kemenangan.

Ini kerana bukan sahaja kejayaan melaksanakan ibadah puasa wajib sebulan tetapi juga berjaya mengharungi ujian yang diberikan kepadanya.

Dalam menjaga hubungan persaudaraan, Allah SWT berfirman: “Orang beriman itu sesungguhnya bersaudara.Oleh itu, damailah (perbaikilah hubungan) antara kedua-dua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah supaya kamu memperoleh Rahmat.’’(Surah al-Hujurat ayat 10).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×