Gelombang panas dijangka berterusan sepanjang April

Gelombang panas dijangka berterusan sepanjang April

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gelombang panas disebabkan oleh fenomena El Nino dijangka berterusan sepanjang April ini dengan keadaan kering dan panas terutama di Utara, Timur dan Selatan Semenanjung Malaysia serta Sabah.

Menurut pakar meteorologi, Prof Dr. Fredolin Tangang, kini cuaca berada di musim perantaraan monsun, dengan kebiasaannya hanya kawasan Pantai Barat yang menerima lebihan hujan berbanding Pantai Timur.

“Keadaan ini menjadikan bahagian utara semanjung Malaysia dijangka akan mengalami keadaan yang lebih kering dan panas sepanjang April ini.

“Ini tambahan lagi peningkatan sinaran matahari disebabkan peralihan ke musim panas hemisfera utara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Seorang lagi pakar meteorologi, Prof Datuk Dr. Azizan Abu Samah pula berkata, berasaskan model dan cerapan, terdapat satu jaluran suhu panas yang merangkumi Pantai Timur dengan  suhu maksimum lingkungan 34 ke 36 dajah Celsius semenjak 2 April.

Keadaan itu katanya, dikaitkan dengan percapahan angin yang menyebabkan pembantutan kejadian awan dan hujan khasnya di kawasan jaluran itu.

“Mengikut nullschool suhu maksimum mencecah 36 darjah Celsius akan berterusan sehingga 13 April khasnya di Pantai Timur termasuk Johor. Terdapat satu perhentian pada 8 dan 9 April tapi keadaan ini berterusan selepas 9 ke 13 April.

“Jadi, dijangka kemarau dan suhu maksimum yang mencecah 35 ke 36 darjah Celsius di Pantai Timur akan berlarutan sehingga 13 April,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Azizan menjelaskan cerapan menunjukkan semenjak 16 Mac, kawasan sekitar Malaysia kini adalah kering dari biasa dan kurang merangsang kejadian hujan.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) meramalkan cuaca panas yang melanda negara ketika ini akan berlarutan sehingga April dengan kemuncak bermula peng­hujung bulan ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×