Kem badminton tagih sentuhan Tze Yong

Kem badminton tagih sentuhan Tze Yong

NG Tze Yong bakal menjadi sandaran negara pada saingan Piala Thomas 2024 selepas Lee Zii Jia masih belum memutuskan untuk berada di kejohanan terbabit. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Di sebalik keraguan penyertaan pemain profesional negara Lee Zii Jia dalam saingan Piala Thomas, kini kem badminton negara menemukan perkara positif selepas terpalit beberapa spekulasi dan isu kecederaan sebelum ini.

Pemain nombor 18 dunia, Ng Tze Yong semakin pulih dan bersedia tampil dalam kemunculan semula pada acara temasya berpasukan dunia itu selepas tidak beraksi selama dua bulan.

Pengarah kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky berkata, Tze Yong berada pada tahap kemajuan yang mampan dan mampu bergerak lebih baik di gelanggang.

“Dia (Tze Yong) nampak bergerak lebih baik di gelanggang ketika latihan. Bagaimanapun dia tetap berhati-hati dan enggan memburukkan kecederaannya.

“Saya percaya Tze Yong berpeluang menyertai skuad ke Piala Thomas kerana masih ada masa sebulan untuk beliau bersedia dan pulih.

Pemain kelahiran Johor itu sebelum ini, meluahkan rasa kecewanya selepas terlepas tiket ke Sukan Olimpik Paris susulan namanya digugurkan daripada senarai ke Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 yang merupakan acara terakhir menawarkan mata ke temasya empat tahun sekali itu.

Pemain berusia 24 tahun itu hanya bermain satu perlawanan penuh musim ini selepas mengalami kecederaan belakang dan tulang belakang ketika saingan Terbuka Malaysia (Januari) dan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 (Februari).

Rentetan daripada itu, Tze Yong terlepas tiket dalam melayakkan diri ke Olimpik selepas melangkau semua Jelajah Dunia Eropah serta BAC 2024 di China, minggu depan.

Dalam pada itu, Rexy meluahkan rasa gembira akan pelapis muda dalam acara perseorangan negara, Justin Hoh menerusi Cabaran Antarabangsa Thailand minggu lalu selepas diketepikan selama enam bulan.

“Walaupun dia (Justin) melepasi pusingan awal, dia memerlukan masa untuk mencari rentak dalam kejohanan. Bagaimanapun, saya berbesar hati Justin kembali beraksi.

Tarikh tutup untuk senarai akhir skuad Piala Thomas dan Uber pada 13 April dan selepas itu skuad lelaki negara bakal hadapi cabaran getir bertemu juara Eropah, Denmark, Hong Kong dan Algeria menerusi Kumpulan D. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×