JERANTUT: Seorang malim gunung Taman Negara Kuala Tahan, Tajuddin Mat Amin, 46, ‘menukar pekerjaan’ buat sementara waktu ketika bulan Ramadan dengan menjual lemang daun lerek Ulu Tembeling di pinggir Jalan Jerantut – Temerloh berdekatan Kampung Temin dekat sini.
Tajuddin berkata, dia sendiri masuk ke hutan berdekatan Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling untuk menebang pokok buluh lemang dan mengambil daun lerek.
“Lumrahnya ketika bulan puasa, lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri harga buluh dan daun lerek agak tinggi, maklum sahajalah ramai peniaga yang membuat lemang untuk dijual kepada pelanggan,” katanya di Kampung Temin dekat sini, semalam.
Menurutnya, dia terpaksa menghentikan sementara tugas sebagai malim gunung sepanjang Ramadan ini kerana tidak mampu membawa pelancong mendaki Gunung Tahan dan menjual lemang sejak 10 tahun lalu untuk memperoleh pendapatan sampingan.
Katanya, dengan bermodalkan RM150 sehari, dia menyediakan beras pulut, santan serta bahan lain untuk dimasak lemang bermula pada sebelah pagi.
Tambahnya, dia memilih lokasi pinggir Jalan Jerantut – Temerloh berdekatan Kampung Temin kerana di situ merupakan laluan utama pengguna jalan raya.
“Setiba di tempat jualan dari rumah saya di Kuala Tahan sejauh 80 kilometer, saya mula menyediakan bahan yang sudah siap dibawa dari rumah dan dimasukkan ke dalam buluh lemang.
“Daun lerek sebesar telapak tangan lebih mudah dimasukkan ke dalam buluh sebelum diisi dengan pulut dan santan. Berbanding daun pisang muda, lembut agak dan memakan masa ketika dimasukkan (ke dalam buluh),” katanya.
Katanya, penduduk Ulu Tembeling lebih sinonim menggunakan daun lerek yang ada aroma ketika membuat lemang dan menjadi tradisi sejak dahulu.
“Setiap hari pada bulan Ramadan ini, saya mampu menjual antara 35 hingga 40 batang lemang dengan harga antara RM14 hingga RM15 ikut saiz buluh,” katanya. – UTUSAN










