Jemaah terus jadi mangsa penipuan

Jemaah terus jadi mangsa penipuan

KENAL pasti masalah yang timbul dan bukan setakat menggantung lesen syarikat atau memberi rating kepada syarikat umrah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ISU pengurusan haji dan umrah semakin meluas dan rencam dewasa ini, apatah lagi dengan peningkatan pesat bilangan mereka yang menunaikan umrah khasnya.

Berdasarkan statistik pada 2023, lebih 500,000 jemaah mengerjakan umrah dan ada lebih 925 syarikat pengendali umrah yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Setiap tahun, pelbagai aduan dan keluhan dilaporkan dalam pelbagai platform media rasmi dan media sosial. Diakui MOTAC telah cuba menangani dan mengambil tindakan atas pelbagai masalah yang timbul.

Masalah seperti penipuan syarikat dan individu berkaitan umrah, kualiti
perkhidmatan yang tidak memuaskan, kegagalan menerbangkan jemaah dan
janji-janji yang tidak ditunaikan sering kedengaran.

Semasa Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2022, memang banyak berlaku permasalahan yang timbul, hingga jemaah tidak mendapat layanan yang sewajarnya dan ada isu yang masih belum beres hingga ke hari ini.

Pihak MOTAC sewajarnya mengenal pasti masalah yang timbul dan bukan setakat menggantung lesen syarikat umrah atau memberi rating kepada syarikat umrah.

Kawal selia yang lebih jitu perlu dilakukan. Agensi di peringkat negeri perlu mewujudkan pusat aduan, supaya hak sebagai pengguna dapat dibela.

Walaupun ada Tribunal Tuntutan Pengguna di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), namun ada jemaah masih tidak tahu apa yang mereka perlu buat.

Syarikat umrah pula perlu mempunyai mekanisme menyelia aspek penjaminan kualiti dalam pengurusan umrah. Mereka perlu mendapatkan maklum balas jemaah dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap setiap aduan yang diterima.

Aduan seperti pegawai pengiring dan mutawif yang tidak kompeten dan lepas tangan, kegagalan menyediakan aktiviti lawatan, kemudahan hotel yang mengecewakan dan kegagalan mematuhi jadual yang disediakan, bukan perkara baharu.

Jika dibaca di laman Facebook syarikat umrah, banyak sekali aduan dan keluhan yang ditulis oleh jemaah. Persoalannya, adakah setiap aduan itu diperiksa kebenaran dan diambil tindakan?

Kerajaan dan pengendali umrah perlu menyedari bahawa jemaah bersusah payah mengumpul wang bertahun-tahun bagi menunaikan haji dan umrah.

Mereka mengharapkan kualiti perkhidmatan yang memuaskan atau sekurang-kurangnya berjaya mencapai hajat ke Tanah Suci dengan sempurna.

Tindakan kepada individu dan syarikat yang melakukan penipuan umrah, perlu dikemaskan lagi. Ada individu yang masuk ke kampung-kampung dan menawarkan skim umrah separuh bayaran kerana ada tajaan pihak tertentu.

Mereka ini hanya memikirkan keuntungan peribadi dan mengambil kesempatan atas sikap jemaah yang menganggap kegagalan tertentu sebagai suatu takdir Allah.

Ada pula yang menawarkan harga pakej yang tidak munasabah, iaitu RM3,000 sahaja, sedangkan tiket penerbangan pergi dan balik sahaja, sudah menelan kos lebih RM3,000.

Oleh yang demikian, pihak berkuasa dan agensi pengendali umrah perlulah lebih bersungguh-sungguh menangani pelbagai permasalahan yang timbul.

Jangan biarkan para jemaah menjadi mangsa berterusan dari tahun ke tahun. – UTUSAN

MUSTAFFA SIRAJ
Batu Pahat

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×