PETALING JAYA: Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan Maybank Asset Management Sdn. Bhd. (MAM) mengumumkan pengagihan pendapatan interim dana Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) sebanyak 2.50 sen seunit bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Mac 2024.
Menurut kenyataannya, ia termasuk pengagihan pendapatan asas sebanyak 2.20 sen seunit dan pengagihan bonus sebanyak 0.30 sen seunit.
Katanya, pembayaran bonus dibuat oleh PHB selaku penaja AHB dan akan dibayar kepada 1,000,000 unit pertama yang dimiliki oleh setiap pemegang unit.
“AHB akan membuat pembayaran berjumlah keseluruhan RM116.6 juta kepada kira-kira 80,000 pemegang unit untuk pengagihan pendapatan kali ini.
“Pendapatan pemegang unit tidak hanya dikecualikan daripada cukai, tetapi ia juga telah dizakatkan.
Bagi tempoh ini, dana akan mengagihkan pendapatan dalam bentuk wang tunai iaitu wang tersebut akan dikreditkan terus ke akaun bank pemegang unit pada 15 April 2024,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Mohamad Damshal Awang Damit berkata, pengagihan ini menunjukkan strategi pelaburannya yang kukuh dalam menguruskan portfolio hartanah.
“Jumlah 1 bilion unit tambahan AHB yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober 2023 hampir keseluruhannya telah dilanggan.
“Ini menegaskan kepentingan dana pendapatan AHB adalah stabil dan dipercayai oleh pelabur terutamanya dalam merancang portfolio pelaburan keseluruhan mereka,” ujarnya.
Tambahnya, PHB terus memberikan nilai kepada pemegang unit AHB, bukan hanya melalui pembahagian pendapatan yang kompetitif, malah melalui penyelesaian kewangan yang disertakan dalam AHB seperti takaful dan wakaf.-UTUSAN










