SEREMBAN: Program mantai yang dianjurkan kerajaan Negeri Sembilan setiap tahun sempena Aidilfitri akan menawarkan harga daging pejal segar dengan harga RM36 sekilogram pada tahun ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, program Mantai Rayo Negeri Sembilan yang akan berlangsung pada hari Ahad ini akan menawarkan sebanyak 16,000 kilogram daging pejal atau 160 ekor lembu.
“Program ini dijalankan secara serentak di lapan kawasan Parlimen di negeri ini, melibatkan 20 lokasi terpilih melibatkan 16 Dewan Undangan Negeri bermula pukul 7 pagi sehingga habis stok. DUN terlibat adalah Klawang, Palong, Jeram Padang, Pilah, Senaling, Seri Menanti, Kota, Sikamat, Lenggeng, Ampangan, Labu, Rahang, Linggi, Seri Tanjung, Repah dan Gemencheh.
“Bagi lapan lokasi terpilih, penganjur akan mengadakan Jualan Nismilan Prihatin manakala baki 12 lokasi hanya Program Mantai sahaja. Anggaran daging pejal yang akan dijual di setiap lokasi adalah sebanyak minimum 500 kilogram dan kita meletakkan had pembelian untuk setiap pembeli sebanyak dua kilogram,” katanya pada sidang akhbar Majlis Prapelancaran Mantai Rayo di Wisma Negeri di sini hari ini.
Yang hadir sama, Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Aminuddin dalam pada itu berkata, pelaksanaan program tersebut bagi memberi peluang kepada lebih ramai menikmati manfaat yang diberikan kerajaan dalam berdepan kos sara hidup dan perayaan Hari Raya Aidilfitri.
“Kerajaan memahami rintihan dan keluh kesah rakyat berkaitan kenaikan harga beberapa bahan kering dan mentah tetapi tidak lengkap rasanya jika sambutan hari raya di Negeri Sembilan tanpa aktiviti mantai. Terasa kurang meriahnya jika tiada aktiviti melapah dan menggantung daging lembu di setiap daerah menjelang sambutan Hari Raya.
“Sehubungan itu, bagi membantu mengekalkan tradisi dan kemeriahan sambutan hari raya pada tahun ini, kerajaan Negeri Sembilan berbesar hati memberikan insentif tunai kepada penjual-penjual daging yang berminat menyertai Program Mantai Rayo 2024 ini bagi membantu menawarkan harga daging lembu pejal tempatan dengan lebih berpatutan dan kerajaan memperuntukkan hampir RM50,000 bagi tujuan ini,” katanya.
Jelas beliau, setiap peserta yang mengambil bahagian di dalam program ini perlu menjual daging pejal segar pada kadar harga RM36 sekilogram.
“Jualan di bawah harga maksimum ini adalah amat dialu-alukan, bagi menggalakkan penyertaan pemantai, kerajaan Negeri Sembilan memberi bayaran insentif dalam bentuk wang tunai sebanyak RM3 bagi setiap kilogram daging pejal segar yang terjual,” katanya lagi.-UTUSAN.










